Tan Cheng Hoe (tiga kiri) mengendalikan sesi latihan skuad kebangsaan. FOTO Ihsan FAM
Tan Cheng Hoe (tiga kiri) mengendalikan sesi latihan skuad kebangsaan. FOTO Ihsan FAM
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Pengendali skuad Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe mengakui tugas lebih mencabar bakal dilalui anak buahnya pada pusingan ketiga Kelayakan Piala Asia yang dijangka berlangsung pada awal tahun depan.

Menurut Cheng Hoe, persiapan lebih sempurna perlu dilakukan terutama dalam mencapai tahap atau standart permainan antarabangsa.

"Terutama sekali saya rasa pemain-pemain kena bersedia dari segi kem latihan pusat dan kejohanan berpusat juga kerana bukan senang kuarantin dalam gelembung sukan ini untuk mana-mana pemain menyesuaikan situasi terbabit.

"Kita tahu dalam perlawanan antarabangsa ini perlunya intensiti, teknikal dan taktikal semua pasukan berada dalam satu tahap terbaik, jadi kita kena buat persediaan yang terbaik dari segi kepantasan dan kelajuan.

"Kita juga akan nampak semua pasukan berada dalam kualiti berbeza juga dalam kelayakan Piala Asia nanti," katanya pada sidang media secara maya.

Berdasarkan format baharu Konfederasi Bolasepak Asia (AFC), kedudukan balang untuk pusingan ketiga Kelayakan Piala Asia ditentukan mengikut kedudukan ranking Fifa.

Ini bermakna, Malaysia secara tidak rasmi bakal mengisi balang tiga dan ia pastinya memberi laluan cukup berliku buat pasukan negara untuk melepasi saingan itu di mana hanya juara kumpulan dan empat naib juara terbaik daripada enam kumpulan akan layak ke Piala Asia.

"Situasi itu mungkin sama pada kelayakan Piala Asia sebelum ini pada 2019. Tapi kita tetap bersedia mengharunginya dan kita kena melakukan persiapan terbaik untuk layak ke Piala Asia," katanya yang memikul tugas selaku penolong jurulatih kepada Nelo Vingada yang menyaksikan Malaysia gagal melepasi pusingan ketiga kelayakan Piala Asia.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Jun 2021 @ 6:15 PM