Pemain TFC menjalani latihan menjelang aksi berdepan JDT, Sabtu ini. FOTO Ihsan TFC
Pemain TFC menjalani latihan menjelang aksi berdepan JDT, Sabtu ini. FOTO Ihsan TFC
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Tugas getir bakal menanti skuad Terengganu FC (TFC) apabila berkunjung ke Stadium Sultan Ibrahim bertemu pendahulu Liga Super, Johor Darul Ta'zim (JDT) Sabtu ini.

Ketua jurulatih TFC, Nafuzi Zain mengakui perkara itu dan sedang mempersiapkan pasukannya bagi menyaingi gergasi Selatan itu yang juga juara Liga Super tujuh musim berturut-turut.

"Kita tahu pasukan lawan (JDT) serba lengkap di setiap posisi, jika nak dibandingkan dengan pasukan kami bukan tandingan daripada segi corak permainan dan kualiti pemain mereka.

"Lagipun JDT kini berada di puncak prestasi dengan mendahului pasukan lain sejak awal lagi termasuk berjaya mengekalkan rekod tanpa kalah setakat ini.

"Namun dalam sukan bola sepak apapun boleh berlaku, saya percaya jika pemain yakin dan mampu menguasai bola, TFC boleh melakar keputusan yang positif biarpun beraksi di tempat lawan.

"Kita harapkan barisan pemain yang diturunkan nanti perlu kekal fokus dan tenang selain mengelak daripada melakukan kesilapan mudah agar tidak terjerat dengan taktikal pasukan lawan," katanya.

Skuad Penyu yang kini mengekori JDT di kedudukan kedua liga dengan mengumpul 18 mata dilihat mampu sekurang-kurangnya mencuri satu mata di tempat lawan jika rekod terdahulu diambil kira.

Musim lalu TFC tewas tipis 0-1 kepada skuad Harimau Selatan itu di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin ketika aksi liga dilangsungkan hanya satu pusingan sahaja manakala pada 2019 keputusannya berakhir dengan seri 2-2 ketika aksi di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin dan 3-3 di tempat lawan.

"Pemain berada pada tahap prestasi terbaik lebih-lebih lagi selepas berjaya merakam dua kemenangan berturut-turut bertemu Kedah dan terbaharu Kuala Lumpur City FC (KL City FC).

"Jadi kita harapkan pemain mampu menyerap asakan pasukan tuan rumah selain meneruskan aksi cemerlang mereka untuk mengutip mata," kata Nafuzi.

TFC dijangka mengekalkan barisan pemain sama ketika menumpaskan KL City FC 1-0 minggu lalu dengan pintu gol bakal menjadi milik penjaga gol Terengganu FC II, Mohd Suhaimi Husin manakala arkiteknya, Makan Konate dan Dechi Marcel bergandingan di jentera tengah manakala tugas sebagai penggempur utama bakal dipikul David Da Silva.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 April 2021 @ 1:32 PM