OLIVER Buff (kiri) cuba melepasi kawalan pemain Terengganu FC. FOTO Ihsan Selangor FC
OLIVER Buff (kiri) cuba melepasi kawalan pemain Terengganu FC. FOTO Ihsan Selangor FC
Syazwan Msar


Petaling Jaya: Terengganu FC membuktikan mereka adalah pasukan yang berada di kelas tersendiri apabila berjaya menundukkan Selangor FC 2-1 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), di sini, sebentar tadi.

Jelas sekali, skuad Penyu terus mengukuhkan kedudukan dalam merebut empat kelompok teratas Liga Super dengan berjaya mengutip tiga mata penuh manakala Selangor FC pula gagal memanfaat beraksi di gelanggang sendiri selepas perlawanan terdahulu hanya sekadar mengutip satu mata saja.

Pada aksi babak pertama menyaksikan tempoh serangan kedua-dua pasukan agak terganggu dengan keadaan padang yang agak teruk sekali gus menyaksikan setiap serangan gagal disudahi dengan jaringan gol.

Malah, tidak banyak serangan mencemaskan berjaya dicipta sekali gus menyaksikan separuh masa pertama berakhir dengan tanpa sebarang gol.

Babak kedua bersambung menyaksikan skuad Gergasi Merah tidak perlu menunggu lama untuk mencipta gol apabila tuan rumah dihadiahkan sepakan penalti selepas bola terkena tangan pertahanan lawan.

Tonggak import Selangor FC Ifedayo Olesegun tidak berhadapan masalah menyempurnakan sepakan terbabit pada minit 49 untuk tuan rumah berada di hadapan dengan 1-0.

Melihat situasi berkenaan, pengendali Terengganu FC Nafuzi Zain membuat dua tukaran pemain bagi menguatkan lagi jentera serangan skuad Penyu dalam misi merebut gol penyamaan.

Percaturan itu ternyata berhasil apabila pasukan pelawat berjaya menyamakan kedudukan pada minit 72 menerusi Engku Nur Shakir yang mudah menolak masuk bola selepas penjaga gol Selangor Khairulazhan Mohd Khalid gagal menampan kemas rembatan dari luar kotak penalti.

Ketika perlawanan berbaki tiga minit sebelum tamat perlawanan, pemain import Terengganu FC Carli De Murga muncul wira apabila tandukannya berjaya menerjah gol lawan untuk kedudukan 2-1.

Walaupun Selangor FC cuba mencari gol penyamaan dengan melancar serangan bertali arus ke kubu lawan namun kedudukan kekal 2-1 hingga tamat perlawanan sekali gus menyaksikan Terengganu FC berjaya membawa pulang tiga mata penting.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Mei 2021 @ 12:49 AM