Pemain TFC, Azam Azmi Murad (kiri) diasak Pemain KL City FC, Romel Oswaldo pada aksi Liga Super. FOTO Ghazali Kori
Pemain TFC, Azam Azmi Murad (kiri) diasak Pemain KL City FC, Romel Oswaldo pada aksi Liga Super. FOTO Ghazali Kori
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Arkitek Terengganu FC (TFC), Makan Konate muncul wira pasukannya apabila meledak gol sulung perlawanan menumpaskan Kuala Lumpur City FC (KL City FC) 1-0 pada aksi kesembilan Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Gong Badak, sebentar tadi.

Gol menarik dari luar kotak pada minit ke-88 itu menggamatkan hampir 3,000 peminat setia skuad Penyu buat kali pertama selepas lebih setahun pintu stadium ditutup buat penonton.

Dengan kemenangan itu, TFC kini menghuni di tangga kedua Liga Super dengan mengutip 18 mata di belakang pendahulu Johor Darul Ta'zim (JDT).

Terdahulu berbekalkan sorakan padu penyokong, skuad Penyu berpeluang untuk meledak gol sulung perlawanan menerusi Mohamad Hakimi Abdullah pada minit kelima hantaran Faisal Halim, namun sepakannya dalam kotak penalti terkena pertahanan pelawat.

Skuad Penyu yang mendominasi permainan mempunyai peluang kedua untuk mendahului pada minit ke-22, tapi sekali lagi pertahanan pelawat berjaya menggagalkan percubaan Faisal.

Bagaikan terlena daripada tidur, pelawat mula mengatur strategi untuk memburu jaringan pertama menerusi percubaan Romel Morales pada minit ke-27 yang terkena tiang sebelah kanan pintu gol.

Lima minit berselang, skuad pelawat sekali lagi memperoleh peluang menarik untuk mencetak gol menerusi tandukan menarik Giancarlo Gallifuoco tapi palang menjadi penyelamat sekali gus melegakan penjaga gol, Mohd Suhaimi Husin.

Sebelum berakhir babak pertama, TFC hampir berjaya memecah kebuntuan menerusi sepakan percuma Konate tapi sepakannya sedikit tersasar di sebelah kanan pintu gol pelawat.

Bersambung babak kedua, skuad bimbingan Nafuzi Zain tidak menunggu lama untuk mengasak menerusi rembatan kencang Mohamad Hakimi pada minit ke-47 yang berjaya diselamatkan penjaga gol tinggi lampai kelahiran Denmark, Kevin Mendoza.

KL City FC juga berpeluang untuk mendapatkan gol menerusi tandukan Daniel Sang Ting tapi sedikit tersasar.Aksi mengecewakan penyerang utama skuad Penyu, David Da Silva yang banyak kehilangan bola menyaksikan dia dikeluarkan pada minit ke-75 dan digantikan Mohamad Rahmat Makasuf.

Namun jaringan minit terakhir Konate itu sudah cukup buat pasukan TFC selain hadiah buat peminat setia skuad hitam putih itu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 April 2021 @ 12:20 AM