Jurulatih skuad bola sepak Malaysia, Tan Cheng Hoe (tengah) berkata sesuatu kepada pemain ketika sesi latihan. FOTO File NSTP
Jurulatih skuad bola sepak Malaysia, Tan Cheng Hoe (tengah) berkata sesuatu kepada pemain ketika sesi latihan. FOTO File NSTP
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Dua aksi persahabatan berdepan negara Asia Barat yang memiliki ranking lebih bagus boleh membantu persiapan skuad Harimau Malaya menjelang baki perlawanan Kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023, Jun ini.

Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Stuart Ramalingam berkata, dua perlawanan persahabatan yang bakal ditempuhi skuad kebangsaan penting dalam membantu pengendalinya, Tan Cheng Hoe menyusun kesebelasan utama kelak.

"Kita sudah ada dua perlawanan persahabatan yang akan diumumkan dalam masa dua atau tiga hari lagi. Satu pasukan sudah sah (Bahrain) dan kita sedang menunggu surat pengesahan daripada satu lagi pasukan.

"Kedua-dua pasukan adalah dari Asia Barat. Perlawanan persahabatan ini dipilih sendiri oleh Cheng Hoe selepas melihat kesesuaian bagi persiapan perlawanan menentang UAE, Vietnam dan Thailand.

"Bukan mengikut ranking atau mengikut siapa yang kita mahu main tetapi kita mahu ia sesuai untuk menyiapkan pasukan kebangsaan sebelum tiga perlawanan penting itu. Tetapi pasukan ini berada dalam ranking yang baik," katanya.

Untuk rekod, skuad kebangsaan akan dihimpunkan pada 16 Mei sebelum bertolak ke Bahrain pada 19 Mei untuk dua aksi pemanas badan sebelum menghabiskan baki kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023 di Dubai, Jun ini.

Skuad kebangsaan akan berdepan tuan rumah, UAE terlebih dahulu sebelum menentang pendahulu, Vietnam dan mengakhiri kempen peringkat kumpulan dengan aksi bertemu Thailand.

Ketika ini, mereka berada pada kedudukan terbaik untuk mara ke peringkat seterusnya apabila menghimpun sembilan mata untuk berada di tempat kedua di belakang Vietnam (11 mata) sementara Thailand berada di tempat ketiga dengan lapan mata dan UAE (enam mata).

Terdahulu, antara pasukan yang berminat untuk mengadakan perlawanan persahabatan dengan Malaysia adalah Iran, Hong Kong dan Jordan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 April 2021 @ 6:53 PM