Luqman Hakim(kiri) ketika menjalani latihan bersama skuad Harimau Malaya. FOTO Ihsan FAM
Luqman Hakim(kiri) ketika menjalani latihan bersama skuad Harimau Malaya. FOTO Ihsan FAM
BERNAMA

Kuala Lumpur: Pemain muda sensasi negara, Luqman Hakim Shamsudin yang kini tampil lebih matang dan saiz fizikal lebih tegap boleh menjadikannya bintang harapan skuad kebangsaan pada masa hadapan.

Bekas Pengurus Skuad Bawah 19 Tahun (B-19) Kebangsaan Datuk Kamarul Ariffin Mohd Shahar berkata prestasi Luqman Hakim, 19, jelas nampak berbeza berbanding sebelum penghijrahannya ke kelab Liga Belgium KV Kortrijk pada Ogos, tahun lalu.

"Apa yang berlaku pada Luqman adalah kehendak dan inisiatif beliau sendiri untuk berjaya, beliau telah berubah 100 peratus.

"Pada hari pertama beliau berlatih bersama skuad kebangsaan ia amat berbeza berbanding semasa dia bersama saya dalam skuad B-19. Bukan sahaja dari segi fizikal, tetapi juga kelakuan dan bahasa badan dia sangat profesional," katanya.

Luqman Hakim dipanggil menyertai kem latihan pusat skuad kebangsaan sebagai persediaan menjelang aksi kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.

Empat penyerang lain adalah pemain naturalisasi terbaharu skuad Harimau Malaya Guilherme de Paula (Perak FC), Muhammad Syafiq Ahmad (JDT), Muhammad Shahrel Fikri Md Fauzi (Selangor FC) dan Norshahrul Idlan Talaha (Sarawak United FC).

Luqman Hakim yang diberi pelepasan oleh kelabnya pada jendela perlawanan antarabangsa Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) ketika ini adalah antara lima penyerang yang dikumpulkan Ketua Jurulatih Skuad Kebangsaan Tan Cheng Hoe.

Kamarul Ariffin berkata jika prestasi anak jati Kota Bharu, Kelantan itu terus meningkat, tidak mustahil Luqman Hakim bakal mengikuti jejak bekas kapten Arsenal dan bintang Barcelona, Cesc Fabregas yang membuat penampilan pertama bersama skuad kebangsaan Sepanyol pada usia muda 19 tahun.

"Saya yakin beliau (Luqman Hakim) akan menyinar. Saya berasakan jika beliau dipilih bersama skuad kebangsaan, ia satu keputusan yang dijangkakan," jelas Kamarul Ariffin yang dilantik antara dua penolong pengurus skuad kebangsaan baru-baru ini.

Dalam pada itu, beliau turut ingin melihat penjaga gol muda Terengganu FC Muhammad Rahadiazli Rahalim yang kini antara 28 pemain dipanggil Cheng Hoe dan pemain muda Johor Darul Ta'zim (JDT) Arif Aiman Mohd Hanapi diberikan peluang sewajarnya untuk bersama-sama skuad kebangsaan.

"Dalam era bola sepak moden, umur bukan jadi penghalang untuk beliau bersama skuad senior. Jadi tiga pemain ini menjadi harapan besar dalam masa terdekat akan menganggotai pasukan kebangsaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 Mac 2021 @ 12:45 PM