KIM Swee berkata pasukan Sukan SEA akan berlatih mengikut jadual FIFA. FOTO Bernama
KIM Swee berkata pasukan Sukan SEA akan berlatih mengikut jadual FIFA. FOTO Bernama
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Pasukan bola sepak negara ke Sukan SEA Vietnam tidak diletakkan sebarang harapan untuk memenangi sebarang pingat namun mereka sebenarnya mempunyai matlamat lebih besar iaitu mampu mencipta kejayaan dengan layak ke Sukan Olimpik 2024.

Walaupun dilihat agak tinggi harapan terbabit namun itu matlamat yang harus mereka capai dengan menjadikan pentas sukan SEA sebagai platform menimba pengalaman dan perbaiki segala kelemahan yang ada.

Pengarah Teknikal Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Datuk Ong Kim Swee berkata, barisan kejurulatihan akan memanggil pemain bawah 20 tahun negara untuk mengikuti latihan mengikut jadual yang dikeluarkan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).

Beliau berkata, ketika ini barisan pemain skuad bawah 20 tahun yang mewakili negara ke sukan SEA Vietnam terdiri daripada 'ubi muda' yang beraksi di beberapa kelab tempatan seperti Johor Darul Ta'zim (JDT) dan Selangor sekali gus tidak berhadapan masalah menyertai kem latihan nanti.

"Pasukan negara akan berlatih mengikut jadual FIFA malah akan menjalani latihan bukan sahaja di dalam negara namun turut bersiap sedia menghadapi perlawanan persahabatan berkualiti di luar negara.

"Kita tidak meletakkan sebarang sasaran kepada mereka namun lebih kepada persediaan Sukan SEA 2023 dan bersedia kelayakan Olimpik 2024.

"Jika diikutkan, pasukan Vietnam sudah tentu menghantarkan pasukan terkuat kerana status sebagai tuan rumah dan Indonesia serta Thailand pula turut akan senaraikan pemain bawah 20 tahun mereka," katanya, pada sidang media mesyuarat Jawatankuasa Pemilihan Sukan SEA di Wisma Majlis Olimpik Malaysia (MOM).

Sebelum itu, walaupun tidak meletakkan sebarang sasaran pingat pada sukan SEA Vietnam, aksi menakjubkan yang ditampilkan beberapa pemain muda negara dijangka mampu mencipta kejayaan pada temasya dwi tahunan itu.

Menurut Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin, beliau terpegun melihat aksi pemain-pemain muda yang bersaing di Liga Malaysia (Liga M) yang mampu membentuk kombinasi mantap menjelang temasya dwi tahunan itu nanti.

Selain kelompok skuad Projek FAM-MSN (Majlis Sukan Negara) yang berusia bawah 19 (B-19) tahun beraksi di Liga Perdana musim ini, beberapa tonggak lain seperti pemain Johor Darul Ta'zim (JDT), Selangor FC dan Terengganu FC antara bintang baharu yang cukup menyerlah bersama pasukan masing-masing.

Ia termasuk bintang JDT dalam pembikinan, Arif Aiman Mohd Hanapi, Akhyar Rashid serta beberapa pemain Selangor antaranya Mukhairi Ajmal, Ahmad Zikri Khalili, Aliff Haiqal dan Danial Asri selain penjaga gol utama Terengganu FC, Rahadiazli Rahalim yang dilihat semakin matang dalam permainan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Mac 2021 @ 12:00 AM