KIM Swee yakin ada ramai pemain berbakat di serata Malaysia.
KIM Swee yakin ada ramai pemain berbakat di serata Malaysia.
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: 'Di mana ada 'ubi muda' berbakat di situ kami akan pantau dan cari.' Itu antara inisiatif Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yang akan mencari bakat muda di setiap pelusuk negara termasuk membabitkan akademi bola sepak negeri dan sekolah sukan untuk diserapkan dalam skuad bawah 20 (B-20) kelak.

Malah usaha berkenaan turut merangkumi pemain muda yang kini berkelana di luar negara sekali gus dapat membentuk pasukan lebih mantap dalam usaha melayakkan diri ke Olimpik 2024.

Pengarah Teknikal FAM, Datuk Ong Kim Swee berkata, pihaknya tidak menumpukan pada pemain yang beraksi dalam pasukan Liga Malaysia saja, malah membuka ruang dan peluang kepada pemain berbakat lain.

Beliau berkata, pihaknya percaya terdapat beberapa 'ubi muda' lain yang kurang mendapat perhatian umum, namun sebenarnya berbakat seterusnya boleh menyumbang kepada pasukan negara.

"Ramai yang mengatakan mungkin kami akan memilih 'produk' daripada pasukan tertentu atau yang ada nama saja namun kali ini berbeza kerana tempoh tiga tahun dimanfaat sebaik mungkin mencari pemain berkelayakan.

"Kita ada banyak pemain lain seperti di negeri atau sekolah sukan sekali gus boleh diketengahkan untuk skuad B-20 negara," katanya ketika dihubungi Arena Metro.

Akhbar ini melaporkan pengendali skuad B-20, Brad Maloney akan memanggil pemain kelab SGV Freiburg di Jerman, V Annil untuk menjalani latihan pusat kelak. Sebelum ini, FAM memutuskan untuk menghantar skuad B-20 tahun bagi menghadapi pusingan Kelayakan Kejuaraan AFC B-23 itu.

Keputusan menghantar skuad B-20 itu adalah sebahagian pelan jangka panjang FAM untuk menyediakan pasukan ini menghadapi kejohanan lebih besar seperti Kelayakan Sukan Olimpik Paris 2024 serta Kelayakan Kejuaraan AFC B-23 pada 2023 dan dua temasya Sukan Sea iaitu di Vietnam 2022 dan Kemboja 2023.

Selain pasukan Mongolia selaku tuan rumah, Malaysia turut bakal berdepan dua lagi pesaing lain dalam Kumpulan J iaitu Laos dan Thailand dengan masing-masing memburu kedudukan juara kumpulan untuk layak ke pusingan akhir yang dijadual berlangsung pada Jun tahun depan di Uzbekistan.

Sementara itu, ketika ditanya sama ada skuad Projek FAM-MSN mungkin mendapat 'laluan' mudah mewakili pasukan B-20 negara, Kim Swee berkata semua pemain adalah sama dan tiada yang akan dipilih tanpa melihat merit atau keupayaan mereka.

"Jika mereka (skuad Projek FAM-MSN) bagus dan menunjukkan permainan baik, kami akan pilih seperti pemain yang lain," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Julai 2021 @ 8:36 PM