MALONEY (tengah) akui kecewa Kejuaraan AFC B-19 di Uzbekistan dibatalkan. FOTO Aswadi Alias
MALONEY (tengah) akui kecewa Kejuaraan AFC B-19 di Uzbekistan dibatalkan. FOTO Aswadi Alias
Firdaus Hashim

Kuala Lumpur: Tiada apa yang mampu diungkapkan oleh pengendali skuad bawah 19 (B-19) tahun negara, Brad Maloney selain kecewa dan terus kecewa.

Kekecewaan berganda itu hadir selepas terbaharu Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) mengesahkan membatalkan Kejuaraan AFC B-19 di Uzbekistan Mac ini susulan pandemik Covid-19.

Sebelum ini, pengendali dari Australia itu turut menerima berita menyedihkan apabila Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) memutuskan untuk membatalkan Piala Dunia B-20 yang dijadualkan berlangsung di Indonesia tahun ini.

Katanya, kekecewaan itu disebabkan oleh keyakinannya yang percaya anak buahnya mampu melakar keputusan positif di Uzbekistan, selain yakin membawa pasukan layak ke Piala Dunia.

"Ya, mengecewakan apabila kejohanan ini (Kejuaraan AFC B-19) dibatalkan secara rasmi.

"Kerana wabak ini (Covid-19), pasukan ini tidak dapat bermain dalam pertandingan antarabangsa yang kompetitif sejak kali terakhir bermain pada kelayakan AFC bulan November 2019.

"Saya pasti, pemain juga sangat kecewa dan merindui untuk mewakili Malaysia di pentas Asia.

"Saya sangat berkeyakinan tinggi dengan pasukan dan saya yakin pasukan ini dapat mencapai kejayaan yang luar biasa sekiranya kedua-dua kejohanan Piala Dunia dan AFC dapat diteruskan," katanya kepada Arena Metro.

Nada kecewa Maloney itu sememangnya berasas jika usahanya selama ini diambil kira apabila banyak kejayaan dicapai olehnya.

Untuk rekod, beliau sebelum ini berjaya membawa skuad remaja negara layak ke pusingan akhir Kejuaraan AFC B-19 selepas menduduki tangga teratas Kumpulan G di peringkat kelayakan dengan menewaskan tuan rumah Kemboja, diikuti Thailand, Brunei dan Kepulauan Mariana Utara pada 2019.

Jurulatih berusia 48 tahun itu turut membantu skuad terbabit meraih gelaran naib juara Kejuaraan AFF B-18 pada tahun sama.

Bagaimanapun, Maloney boleh mengubati rasa kecewanya pada hujung tahun ini apabila pada 17 Januari lalu khidmatnya disambung hingga hujung tahun ini bagi temasya Sukan Sea di Vietnam.

Harapan meraih pingat emas kini dibahunya selain bakal membawa cabaran dalam kelayakan Kejuaraan AFC B-23 dan kelayakan Sukan Olimpik 2024.

"Skuad ini mewakili masa depan bola sepak Malaysia dan saya berharap dapat bekerjasama dengan pasukan ini pada setiap peluang," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 January 2021 @ 7:04 PM