MALONEY (kanan) mungkin akan memikul tugas untuk membimbing skuad muda negara di Sukan SEA dan kejohanan lain tahun ini. FOTO NSTP
MALONEY (kanan) mungkin akan memikul tugas untuk membimbing skuad muda negara di Sukan SEA dan kejohanan lain tahun ini. FOTO NSTP
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Khidmat jurulatih skuad bawah 19 (B-19) tahun negara, Brad Maloney masih lagi ditagih apabila Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menyambung kontrak beliau hingga penghujung tahun ini.

Keputusan itu tepat memandangkan pengendali dari Australia itu berkemungkinan besar akan diberi tanggungjawab menggalas misi skuad negara memburu pingat emas di Sukan SEA Vietnam hujung tahun ini.

Bagaimanapun, pelantikan Maloney belum dibuat secara rasmi kerana perlu diputuskan jawatankuasa pasukan kebangsaan.

Namun, Pengarah Teknikal FAM, Datuk Ong Kim Swee memberi bayangan bahawa Maloney kemungkinan besar akan memikul tugas untuk membimbing skuad muda negara di Sukan SEA dan kejohanan lain tahun ini.

"Kontrak Maloney disambung hingga penghujung tahun 2021 di mana kita tahu dalam mesyuarat Exco yang lepas kita menetapkan pasukan B-19 akan mewakili negara di Sukan SEA di Hanoi hujung tahun ini termasuk juga kelayakan Piala AFC B-23 yang akan berlangsung pada Oktober atau November tahun ini.

"Jadi secara tidak langsung kemungkinan besar Brad Maloney akan dilantik sebagai jurulatih (skuad Sukan SEA)," katanya.

Kontrak Maloney yang mula mengendali skuad B-19 negara pada pertengahan 2019 sepatutnya berakhir pada Mac ini.

Nama Maloney yang memiliki rekod cemerlang membawa skuad muda negara ke Kejuaraan B-19 AFC sememangnya menjadi sebutan sebagai antara pilihan untuk mengendalikan skuad Sukan SEA.

Selain Maloney, nama pengendali skuad Projek FAM-Majlis Sukan Negara (MSN), Yusri Che Lah yang akan beraksi di Liga Perdana juga antara calon berpotensi dipilih menggalas misi di temasya Asia Tenggara itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 January 2021 @ 11:44 PM