SOLSKJAER (tengah) ketika perlawanan bertemu Burnley hari ini. FOTO AFP
SOLSKJAER (tengah) ketika perlawanan bertemu Burnley hari ini. FOTO AFP
AFP

Burnley: Pengurus Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer berkata, kunjungan ke gelanggang juara bertahan, Liverpool pada awal pagi Isnin cukup tepat selepas skuad bimbingannya kini menduduki tangga teratas Liga Perdana buat kali pertama dalam tempoh tiga tahun.

Jaringan Paul Pogba sudah cukup untuk United melakar kemenangan 1-0 ke atas Burnley di tempat lawan sekali gus mempunyai kelebihan tiga mata berbanding Liverpool yang gagal untuk melakar kemenangan pada tiga perlawanan terakhir mereka.

"Ia adalah kedudukan yang cukup cemerlang," kata Solskjaer yang menyaksikan masa depannya selaku pengurus terancam beberapa bulan lalu selepas permulaan hambar selain tersingkir pada kempen Liga Juara-Juara.

"Kami akan bertemu juara bertahan. Mereka melalui tiga musim setengah yang cukup menakjubkan dan kami sedar ia pasti perlawanan yang sukar, tetapi kami sudah bersedia menghadapinya.

"Inilah masa terbaik untuk bertemu mereka kerana kami berada dalam kedudukan terbaik, dahagakan kejayaan dan barisan pemain mahu mendapatkan yang terbaik."

Sejak beberapa minggu lalu, Pogba menjadi watak penting United dalam usaha mencabar kejuaraan liga buat kali pertama sejak kali terakhir mengecapi kejayaan itu ketika bawah bimbingan Alex Ferguson pada 2013.

Pemenang Piala Dunia bersama Perancis itu mendominasi bahagian tengah pada babak kedua di Turf Moor dan akhirnya menyumbang gol kemenangan minit ke-71.

Ejen Pogba, Mino Raiola sebelum ini secara terbuka menyatakan pemain itu mahu berhijrah pada hujung musim ini tetapi Solskjaer menegaskan bintang berusia 27 tahun itu adalah watak penting untuk perancangan pasukannya.

"Saya sentiasa berkata Pogba sentiasa penting untuk kami. Dia mempunyai karakter yang baik di bilik persalinan kerana dia adalah seorang juara dunia.

"Kita dapat saksikan prestasi terbaik Pogba ketika ini. Dia mempamerkan aksi semakin baik pada setiap perlawanan," Solskjaer.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 January 2021 @ 7:53 AM