GUARDIOLA akur City masih tumpul di depan pintu gol lawan. FOTO AFP
GUARDIOLA akur City masih tumpul di depan pintu gol lawan. FOTO AFP
AFP

Southampton: Pep Guardiola mengakui Manchester City harus mencari momentum di depan pintu gol jika mereka mahu mencabar Liverpool untuk kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas mencatat kemenangan 1-0 ke atas pasukan tempat ketiga, Southampton.

City ketinggalan 11 mata di belakang pendahulu, Liverpool sebelum sepak mula, dengan memiliki kelebihan dua perlawanan berbanding penyandang juara itu dan awal pagi tadi mereka terpaksa bergantung kepada corak bertahan mantap untuk melonjak ke tangga kelima serta berjaya tidak bolos buat kali ketujuh dalam lapan perlawanan.

"Kami tidak mempunyai momentum dalam menjaringkan gol. Kami harus menerimanya tapi kami harus bertahan sekarang dengan menjadi lebih mantap dan meletakkan segala kemahuan di dalam diri," kata Guardiola.

Anak buah Guardiola sekali lagi kelihatan berkarat ketika di depan pintu gol dengan pelbagai peluang yang dicipta tapi hanya satu saja dilihat berkualiti selepas Kevin De Bruyne bergabung dengan Raheem Sterling untuk menghasilkan gol tunggal perlawanan.

Berbeza dengan Liverpool yang membelasah Crystal Palace 7-0 pada perlawanan yang berlangsung lebih awal.

Guardiola mengakui sendiri bahawa City masih terlalu jauh untuk mencabar pasukan bimbingan Jurgen Klopp bagi perebutan trofi liga.

"Kami masih lagi jauh, lihat saja dalam kedudukan liga, masih ada jurang dari segi mata. Mereka masih mempunyai momentum untuk menterjemahkan jaringan.

"Saya menyaksikan perlawanan mereka menentang Tottenham, bagaimana sangat baik mereka beraksi. Tidak ada rahsia lagi bagaimana mereka bermain sangat baik. Bagaimanapun, saya memberitahu anak buah saya lupakan saja perkara ini.

"Jika kami berada di tangga kesembilan, fikirkan mengenai kedudukan kelapan, seterusnya ketujuh, selepas itu Liga Europa dan akhir sekali Liga Juara-Juara," kata Guardiola.

Southampton yang hanya tewas sekali dalam 10 perlawanan liga sebelum ini, tergelincir ke tangga kelima.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 Disember 2020 @ 10:42 AM