PEARLY (kiri) dan Thinaah kandas di suku akhir Seluruh England. FOTO SAIFULLIZAN TAMADI
PEARLY (kiri) dan Thinaah kandas di suku akhir Seluruh England. FOTO SAIFULLIZAN TAMADI
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Ada yang lebih merisaukan buat Persatuan Badminton Malaysia (BAM) berbanding aksi tidak konsisten beregu wanita negara, Pearly Tan-M Thinaah.

Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky berkata, apa yang lebih merisaukan kini adalah risiko kecederaan.

Namun dalam masa yang sama masih banyak yang perlu dilakukan biarpun Pearly-Thinaah menunjukkan peningkatan berbanding di dua kejohanan sebelum ini iaitu Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) dan Terbuka Perancis yang mana mereka tersingkir seawal pusingan pertama.

Terdahulu perjalanan mereka di Seluruh England terhenti di suku akhir apabila tewas kepada beregu nombor 11 dari Jepun, Rena Miyaura-Ayako Sakuramoto, 21-11, 18-21, 18-21.

Begitupun mereka melakar kejutan terbesar apabila menewaskan gandingan nombor satu dunia dari China, Chen Qing Chen-Jia Yi Fan.

"Secara keseluruhan kita lihat aksi mereka lebih baik berbanding BATC tapi aksi yo-yo atau tidak semua orang akan risau.

"Tapi lebih penting dan merisaukan kami adalah risiko kecederaan pemain.

"Jadi masih perlu bekerja keras lagi untuk perbaiki tahap fizikal serta ketahanan otot," katanya.

Sementara itu Pearly berkata, dia bersama Thinaah berada di landasan terbaik dalam usaha untuk terus mempamerkan aksi konsisten.

"Secara keseluruhannya memang kami kecewa sebab kalah tapi kami juga berada di landasan tepat untuk mencapai prestasi terbaik.

"Apa yang penting sekarang adalah aksi konsisten," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 Mac 2024 @ 4:14 PM