AKSI Zii Jia ketika menentang Zefi Costa. FOTO Asyraf Hamzah
AKSI Zii Jia ketika menentang Zefi Costa. FOTO Asyraf Hamzah
Fabian Peter


Hangzhou: Bagi memastikan kemenangan memihak Lee Zii Jia apabila berdepan pemain seperti Kunlavut Vitidsarn dari Thailand, pemain perseorangan lelaki badminton negara itu perlu tampil lebih kemas dan bersabar.

Berdasarkan prestasi Kunlavut yang juga pemain nombor satu dunia itu ketika menentang pemain nombor 104 dunia dari Vietnam, Nguyen Hai Dan sebelum ini, Zii Jia dilihat berpeluang menumbangkan lawannya itu di pusingan ketiga acara perseorangan badminton di Sukan Asia itu nanti.

Zii Jia, 25, mara ke peringkat seterusnya selepas mudah mengatasi pemain Timor Leste, Mourinho Gusmao de Jesus menerusi keputusan 21-0, 21-7.

Sebelum itu, jaguh perseorangan negara itu sedikit bergelut di pusingan pertama apabila diheret beraksi hingga tiga set sebelum mampu menundukkan pemain Hong Kong, Angus Ng Ka Long, semalam.

"Kunlavut juara dunia tahun ini, ia akan menjadi cabaran besar buat saya kerana prestasi saya sekarang tidak begitu konsisten" kata Zii Jia yang juga pemain nombor 16 dunia.

"Semua orang tahu dia (Kunlavut) pemain memiliki corak bertahan yang mantap, saya mesti bersabar apabila bermain dengannya," katanya.

Kunlavut menerima 'bye' pada pusingan pertama, namun diheret ke aksi penentuan oleh Hai Dan sebelum menang 17-21, 21-18, 21-15.

Terdahulu, bekas juara remaja dunia dua kali, Goh Jin Wei turut berjaya mara ke pusingan ketiga temasya sukan terbesar Asia itu.

Jin Wei menewaskan pemain Vietnam, Vu Thi Anh Thu dengan 21-10, 21-13 pada pusingan kedua dan dijadual menentang pilihan kelima, Gregoria Mariska Tunjung dari Indonesia, bagi mengintai slot ke suku akhir.

Sementara itu, harapan seorang lagi pemain negara, K Letshanaa untuk mara lebih jauh tidak kesampaian apabila tewas di tangan Busanan Ongbamrungphan dari Thailand.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Oktober 2023 @ 5:38 PM