PEARLY (kanan) dan Thinaah berhempas pulas sebelum mara ke suku akhir Masters Malaysia. FOTO FB BAM
PEARLY (kanan) dan Thinaah berhempas pulas sebelum mara ke suku akhir Masters Malaysia. FOTO FB BAM
Ferzalfie Fauzi dan Wan Izzati Amir


Kuala Lumpur: Beregu wanita nombor satu negara, Pearly Tan-M Thinaah melangkah ke suku akhir Masters Malaysia 2023 apabila menumbangkan pasangan Jepun, Rena Miyaura-Ayako Sakuramoto di pusingan kedua, hari ini.

Bagaimanapun, mereka tidak diberikan tentangan mudah apabila diheret sehingga ke rubber set yang menyaksikan kedua-dua pemain terpaksa bermandi peluh terutama ketika permainan rali di kedudukan 16-14 apabila 211 pukulan terhasil.

Ia secara tidak rasmi menjadi antara rali terpanjang di dunia bagi acara beregu wanita, sekali gus memadamkan rekod lama 195 pukulan ketika Baek Ha Na-Lee Yu Rim (Korea Selatan) menentang Du Yue-Li Wen Mei dari China di Terbuka Korea pada 2022.

Mereka yang diletakkan sebagai pilihan keenam kejohanan mencatat kemenangan 21-17, 18-21, 21-19 ke atas lawan yang kali pertama ditentang itu dan akan berdepan satu lagi pasangan Jepun, Yuki Fukushima-Sayaka Hirota, esok.

Yuki-Sayaka mara ke suku akhir selepas menang ke atas Lee Yu Lim-Shin Seung Chan dari Korea Selatan 21-16, 21-9.

Berdasarkan rekod pertemuan, Pearly-Thinaah ketinggalan 2-3 dengan lawan yang menghuni ranking kesembilan dunia itu.

"Memang berasa penat, tapi gembira bila perlawanan sudah habis kerana dapat mencatat kemenangan hari ini," kata Pearly yang mengalami sedikit luka di bahagian kaki selepas terjatuh di set ketiga.

Sementara itu, Thinaah mengakui lawan sudah membaca permainan mereka di set kedua, namun mereka tidak membuat banyak perubahan.

"Apabila di set ketiga, kami fokus bahagian kami dan memberikan segala-galanya dalam gelanggang," kata pemain kelahiran Selangor itu.

Kemaraan Pearly-Thinaah yang menghuni tangga ke-11 dunia, setidak-tidaknya mengubat kekecewaan di Terbuka Malaysia, Januari lalu selepas mereka tersingkir di pusingan pertama.

Tahun ini, penyandang juara Terbuka Perancis itu berjaya mara empat kali ke separuh akhir iaitu di Terbuka India, Masters Indonesia dan Terbuka Jerman.

Namun, selain Terbuka Malaysia, mereka tersingkir di pusingan pertama di Seluruh England dan Terbuka Switzerland.

Dalam kejohanan sama tahun lalu, Pearly-Thinaah melangkah sehingga ke separuh akhir sebelum tumpas kepada Chen Qing Chen-Jia Yi Fan dari China 21-10, 21-19.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Mei 2023 @ 5:12 PM