SZE Fei dan Hon Jian akan menyertai Masters China Selasa ini.
SZE Fei dan Hon Jian akan menyertai Masters China Selasa ini.
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Hajat beregu lelaki negara, Choong Hon Jian-Goh Sze Fei untuk meraih gelaran pertama mereka belum lagi menjelma selepas tewas di final Cabaran Antarabangsa Thailand, hari ini.

Hon Jian-Sze Fei yang baru digandingkan bulan lalu terpaksa akur apabila tewas di tangan pilihan pertama dari Thailand, Chaloempon Charoenkitamorn-Nanthakarn Yordphaisong dalam pertarungan tiga set 21-15, 15-21, 22-24 dalam tempoh 65 minit.

Walaupun tewas namun pencapaian kedua-dua pemain itu yang berjaya melangkah sehingga pentas final boleh dianggap sesuatu yang membanggakan mengambil kira mereka baru digandingkan selama sebulan.

Hon Jian-Sze Fei digandingkan susulan rombakan yang dibuat dalam skuad beregu lelaki negara selepas perpisahan Nur Izzuddin Rumsani-Sze Fei pada hujung Januari lalu.

Pencapaian di Thailand dianggap tonik terbaik buat Hon Jian-Sze Fei yang akan berdepan 'ujian' kedua mereka sebagai gandingan apabila dijadual beraksi dalam saingan Masters China bermula Selasa ini.

Mereka akan membuka tirai kempen menentang beregu tuan rumah, Liang Yong Wang-Song Jia Long pada aksi pusingan pertama.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Mac 2023 @ 8:14 PM