ZII Jia terpaksa akur dengan kekalahan di tangan Kean Yew buat kali kedua berturut-turut. FOTO Ihsan Persekutuan Badminton Dunia
ZII Jia terpaksa akur dengan kekalahan di tangan Kean Yew buat kali kedua berturut-turut. FOTO Ihsan Persekutuan Badminton Dunia
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Hasrat Lee Zii Jia untuk membalas dendam ke atas Loh Kean Yew seterusnya merangkul gelaran kedua tahun ini tidak kesampaian apabila terpaksa menarik diri di set penentuan ketika dia ketinggalan 12-17 dalam perlawanan akhir Terbuka Hylo di Saarbrucken, Jerman sebentar tadi.

Zii Jia pemain ranking kelapan dunia, dikatakan mengalami kecederaan belakang sekali gus terpaksa akur dengan kekalahan 21-19, 13-21 12-17, tumpas dua kali berturut-turut kepada pemain Singapura kelahiran Pulau Pinang itu selepas minggu lalu dia kalah di pusingan pertama Terbuka Perancis.

Walaupun tenang mengawal permainan dan memberikan persembahan meyakinkan di set pertama, pemain kelahiran Kedah itu mula kelihatan goyah di set kedua dan beberapa pukulan smash yang terkandas di jaring di set penentuan memberikan kelebihan kepada Kean Yew yang juga pemain ke-39 dunia, sebelum Zii Jia mengambil keputusan menarik diri akibat kecederaan.

Kekalahan itu juga menyaksikan rekod antara kedua-dua pemain terikat 2-2 dengan dua aksi awal sebelum ini menyaksikan Zii Jia berjaya menumpaskan Kean Yew di pusingan kedua Cabaran Antarabangsa Thailand (2016) dan pusingan pertama Terbuka China (2019).

Dia sebelum ini bergelut dengan prestasi tidak menentu selepas mengharungi empat kejohanan berturut-turut, Piala Sudirman, Piala Thomas, Terbuka Denmark dan Terbuka Perancis.

Zii Jia yang muncul juara Seluruh England Mac lalu diletakkan sebagai pilihan kedua di Saarbrucken dan dilihat berpeluang cerah untuk muncul juara selepas pilihan utama, Chou Tien Chen dari Taiwan tumpas di tangan Kean Yew di pusingan pertama.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 November 2021 @ 1:22 AM