TUJUH ahli gabungan menyatakan usul hilang kepercayaan terhadap Rachel. FOTO Owee Ah Chun
TUJUH ahli gabungan menyatakan usul hilang kepercayaan terhadap Rachel. FOTO Owee Ah Chun
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Sebagai seorang jurulatih, Ng Shu Wai mengakui pergolakan yang berlaku dalam Persekutuan Gimnastik Malaysia (MGF) sedikit sebanyak mengganggu tumpuannya untuk mempersiapkan atlet terutamanya Farah Ann Abdul Hadi yang akan beraksi di Sukan Olimpik Tokyo tahun depan.

Menurut bekas atlet negara yang pernah beraksi di Sukan Olimpik Athens 2004 itu, masalah berkenaan seharusnya segera ditamatkan untuk menghilangkan kegusaran atlet dan barisan jurulatih.

"Sudah tentu (pergolakan ini) mengganggu persiapan. Saya berharap isu yang membelenggu MGF ini dapat diselesaikan awal dalam tahun ini. Ia bagi membolehkan kami mendapat semula keyakinan," katanya ketika dihubungi Arena Metro.

Sebelum ini, ratu gimnas negara, Farah Ann mengambil sikap berkecuali dan tidak mahu terbabit dalam kemelut dalaman yang melanda MGF pada masa ini.

Gimnas berusia 25 tahun itu berkata, dia lebih mengutamakan fokus terhadap latihan dan persediaan ke Sukan Olimpik Tokyo tahun depan, berbanding memihak kepada mana-mana individu atau terpalit dengan politik dalaman persekutuan itu.

Dua minggu lalu, MGF berdepan pergolakan selepas tujuh ahli gabungannya menyatakan usul hilang kepercayaan terhadap presidennya, Rachel Lau dan menggesa diadakan mesyuarat agung luar biasa (EGM).

Ditanya mengenai persiapan Farah Ann untuk Olimpik Tokyo, Shu Wai berkata, atlet berusia 25 tahun itu sudah kembali pada landasan yang diinginkan selepas mengadu sakit bahu sebelum ini.

"Ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini dia memberitahu mengalami kesakitan di bahagian bahu namun beberapa bulan selepas menjalani rawatan dengan Institut Sukan Malaysia kecederaan itu sebagai reda.

"Dia boleh kembali berlatih 90 peratus cuma sekarang akan tidak bernasib baik buatnya dan atlet lain yang hanya berlatih tanpa sebarang kejohanan disebabkan pandemik Covid-19 kembali meningkat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Oktober 2020 @ 10:23 PM