MANE terlepas aksi menentang Aston Villa. FOTO AFP
MANE terlepas aksi menentang Aston Villa. FOTO AFP
AFP

Liverpool: Bintang Liverpool dari Senegal, Sadio Mane dijangkiti Covid-19 dan kini menjalani kuarantin, menurut kelab awal pagi tadi.

"Sadio Mane diuji positif Covid-19 dan menjalani kuarantin mengikut garis panduan kesihatan yang ditetapkan,'' menurut Liverpool dalam satu kenyataan.

"Penyerang itu yang menjaringkan gol ketika menewaskan Arsenal 3-1 pada Isnin lalu hanya bergejala ringan tetapi kesihatannya baik secara keseluruhan.

"Bagaimanapun, seperti Thiago Alcantara, Liverpool Football Club akan terus mematuhi protokol berkaitan Covid-19 dan Mane akan dikuarantin untuk tempoh ditetapkan.''

Thiago terlepas aksi menentang Arsenal selepas didapati positif. Dia dan Mane tidak dapat beraksi menentang Aston Villa di tempat lawan dalam aksi Liga Perdana, Isnin ini.

Pengurus, Jurgen Klopp berharap kedua-duanya dapat kembali beraksi selepas rehat antarabangsa untuk 'derby' Merseyside menentang Everton pada 17 Oktober.

Mane, 28, berada di kemuncak prestasi musim ini dengan menjaringkan gol ketika menewaskan Chelsea dan Gunners.

Komitmen antarabangsanya juga terjejas apabila disenaraikan dalam skuad Senegal yang akan menentang Maghribi dan Mauritania dalam aksi persahabatan.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Oktober 2020 @ 6:56 AM