Chun Yong (duduk, tiga dari kiri) bersama peserta yang menyertai Kursus Kejurulatihan Futsal Tahap Dua AFC di Kuantan. FOTO Asrol Awang
Chun Yong (duduk, tiga dari kiri) bersama peserta yang menyertai Kursus Kejurulatihan Futsal Tahap Dua AFC di Kuantan. FOTO Asrol Awang
Asrol Awang


Kuantan: Ketua jurulatih skuad futsal kebangsaan, Chiew Chun Yong mengakui bakal berdepan cabaran besar dalam membentuk kembali skuad yang mantap kesan penularan Covid-19.

Bekas pemain kebangsaan itu berkata, ini kerana kira-kira sembilan bulan skuad negara tidak dapat menjalani latihan berikutan pandemik itu.

"Bagaimanapun, cabaran itu bukan hanya membabitkan skuad negara malah turut menjejaskan pasukan dari Asia dan seluruh dunia.

"Sepatutnya tahun ini kita akan menyertai dua kejohanan iaitu Kejuaraan Futsal Persekutuan Bolasepak Asia Tenggara (AFF) dan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) tetapi kerana Covid-19 ia terpaksa ditangguhkan pada tahun depan.

"Berdasarkan maklumat, Kejohanan AFF yang ditangguhkan sebelum ini akan diadakan pada 23 Januari 2021 tetapi ia bergantung kepada perkembangan kes Covid-19 di Malaysia dan negara Asia lain," katanya.

Chun Yong berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Kursus Kejurulatihan Futsal Tahap Dua AFC hari ini.

Kursus itu dianjurkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Persatuan Bolasepak Negeri Pahang (PBNP) dan Pahang Rangers FC membabitkan 14 peserta dari Pahang.

Hadir sama, penolong jurulatih Pahang Rangers, Ahmad Ridzuan Abdul Halim.

Sebagai persediaan, beliau dalam perancangan untuk mengadakan kejohanan berskala kecil untuk memastikan pemain dapat mempamerkan prestasi masing-masing.

"Pada kejohanan itu nanti prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) akan diberikan keutamaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 September 2020 @ 7:37 PM