SUMAREH (kiri) enggan lagi bersama Pahang.
SUMAREH (kiri) enggan lagi bersama Pahang.
Firdaus Hashim


BUKAN Johor Darul Ta'zim (JDT) atau pun mana-mana pasukan Liga Malaysia (Liga M), sebaliknya pemain naturalisasi Harimau Malaya, Mohamadou Sumareh bakal berkelana ke Liga Thailand apabila namanya dikaitkan dengan kelab Police Tero FC.

Perkembangan itu didedahkan media Thailand apabila mengesahkan Sumareh akan menyertai kelab yang bersaing di saingan utama Liga Thailand itu.

Bagaimanapun, ketika Arena Metro cuba untuk mendapatkan pengesahan daripada Sumareh, dia enggan memberi sebarang komen dan menyerahkan segala-galanya kepada takdir.

Namun, menerusi tinjauan daripada beberapa sumber yang boleh dipercayai, Sumareh akan terbang ke Bangkok dalam masa terdekat selepas dia sebelum ini memohon untuk menamatkan kontrak bersama Pahang dengan menggunakan klausa 8.7.

"Dia akan ke sana (Thailand) dalam masa terdekat. Mengenai tawaran kontrak oleh kelab Thailand itu ia dirahsiakan. Tapi dia memang akan ke sana dan pengumuman rasmi akan dibuat tak lama lagi," kata sumber berkenaan.

Sebelum ini, kecoh apabila tonggak utama Pahang itu tidak kelihatan menjalani latihan bersama skuad kendalian Dollah Salleh sejak sebulan lalu sekali gus mencetuskan persoalan ke mana perginya pemain naturalisasi pertama negara itu.

Difahamkan, tindakan Sumareh itu didorong ekoran kegagalan Persatuan Bolasepak Negeri Pahang (PBNP) membayar gaji pemain hingga ia tertunggak untuk beberapa bulan.

Lantas pemain sayap kelahiran Gambia itu bertindak drastik apabila dia menggunapakai klausa 8.7 yang terkandung dalam kontraknya dengan Pahang.

Dalam klausa itu, mana-mana pemain yang tidak dibayar gaji selama sebulan atau lebih boleh memohon untuk menamatkan kontrak lebih awal dan dibenarkan untuk berunding dengan pasukan lain.

Untuk rekod, ketika ini dua pemain negara turut beraksi di Liga Thailand iaitu Norshahrul Idlan Talaha dan Dominic Tan.

Norshahrul beraksi buat kelab BG Pathum United manakala Dominic bakal menjadi rakan sepelatih Sumareh di Police Tero FC.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 September 2020 @ 9:43 PM