OLTMANS ketika mengendalikan sesi latihan skuad hoki negara.
OLTMANS ketika mengendalikan sesi latihan skuad hoki negara.
Saiful Affendy Sapran


ROELANT Oltmans mengesahkan sudah meletak jawatan sebagai ketua jurulatih skuad hoki lelaki negara.

Pengendali dari Belanda itu berkata, keputusan itu dilakukan selepas melihat situasi semasa pandemik Covid-19 yang menjejaskan segala perancangan termasuk pembatalan kejohanan di seluruh dunia.

"Selepas mengadakan perbincangan beberapa kali dengan presiden, saya mengambil keputusan untuk meletak jawatan yang akhirnya diterima.

"Secara jujur kami berbincang mengenai tempoh notis pemberhentian tetapi saya bersyukur diberikan pilihan untuk menamatkan tugas pada 31 Julai," katanya menerusi sepucuk surat. Oltmans berkata, sekiranya tidak berlaku situasi wabak Covid-19, beliau mungkin akan kekal membimbing skuad negara sehingga berakhirnya kontrak hujung tahun ini.

"Saya sudah merantau hampir sembilan tahun dan tanpa virus corona, saya pasti akan kekal sehingga tamat kontrak tetapi dalam situasi tidak menentu ketika ini, saya harus memilih keluarga dan diri sendiri," katanya.

Presiden MHC, Datuk Seri Subahan Kamal dijangka akan mengumumkan perkara itu secara rasmi pada sidang media esok.

Oltmans dilantik selaku ketua jurulatih skuad kebangsaan bermula Oktober 2018 menggantikan Stephen Van Huizen.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Ogos 2020 @ 10:06 PM