Luqman Hakim Shamsudin
Luqman Hakim Shamsudin
Syazwan Msar


PENYERANG muda sensasi negara, Luqman Hakim Shamsudin akan diberikan pelepasan oleh kelabnya KV Kortrijk untuk menyertai Kejuaraan Bawah 19 (B-19) AFC 2020 di Uzbekistan, Oktober depan.

Pengendali skuad B-19 negara Brad Maloney berkata, Luqman dijangka akan ke kelab yang berpangkalan di Belgium dalam masa terdekat ini seterusnya kemungkinan terlepas sesi latihan pada peringkat awal.

Beliau berkata, perkara terbabit tidak menimbulkan sebarang masalah apabila Luqman mungkin tampil lebih meyakinkan selain dapat meningkatkan kebolehannya sebagai persiapan menjelang kejuaraan B-19 itu.

"Saya dimaklumkan Luqman akan ke KV Kortrijk dalam masa terdekat ini seterusnya bagus untuk pembangunan pemain terbabit.

"Namun, saya difahamkan dia akan dilepaskan untuk menyertai kejohanan terbabit dan dia mungkin akan sertai pasukan pada persiapan terakhir nanti," katanya.

Sebelum itu, impian penyerang muda sensasi negara, Luqman Hakim Shamsudin untuk berkelana ke luar negara tercapai selepas sah akan menyertai kelab dari Belgium, K V Kortrijk.

Perkembangan itu diumumkan Persatuan Bolasepak Selangor (FAS).

Dalam kenyataan terbabit, FAS mengesahkan persetujuan sudah dicapai antara persatuan itu dengan KV Kortrijk untuk perpindahan bekas pelatih Akademi Mokhtar Dahari (AMD) itu.

Sementara itu, Maloney berkata, skuad B-19 tidak perlu bimbang jika sekiranya Luqman tidak boleh menyertai pasukan kerana ada ramai lagi pemain lain berbakat boleh mengisi kekosongan itu.

"Kita akan melihat pemain lain yang boleh mengisi posisi Luqman jika dia tidak boleh bermain nanti," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Julai 2020 @ 9:23 PM