ABDUL Karim Rahman berkata hanya atlet menggunakan kolam renang bagi menjalani latihan secukupnya sebelum menyertai SUKMA. FOTO NADIM BOKHARI
ABDUL Karim Rahman berkata hanya atlet menggunakan kolam renang bagi menjalani latihan secukupnya sebelum menyertai SUKMA. FOTO NADIM BOKHARI
Mohd Roji Kawi


SARAWAK membenarkan fasiliti sukan seperti kolam renang dibuka kepada atlet untuk menjalani latihan mulai 17 Jun ini sebagai persiapan untuk menghadapi temasya Sukan Malaysia (SUKMA) di Johor, tahun depan.

Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, walaupun Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) belum membenarkan kolam renang dibuka kepada orang ramai berikutan kebimbangan penularan Covid-19, namun bagi atlet negeri, kelonggaran diberi bagi membolehkan mereka menjalani latihan dengan lebih sempurna.

"Atlet renang dan terjun tidak boleh menjalani latihan di padang atau tempat lain. Mereka hanya boleh meningkatkan keupayaan dengan berlatih di kolam renang.

"Sebab itu, kita membenarkan hanya atlet menggunakan kolam renang kerana kita mahu mereka menjalani latihan secukupnya sebelum menyertai SUKMA tahun depan," katanya pada sidang media di Pusat Akuatik Pandelela Rinong, di sini, hari ini.

Abdul Karim berkata, bagi sukan bola sepak, hoki dan ragbi juga, kebenaran diberikan kepada pasukan untuk menjalani latihan dengan prosedur standard operasi (SOP) ketat perlu diperolehi.

"Kita hanya membenarkan atlet untuk sukan yang memerlukan kontak rapat itu menjalani latihan tetapi tidak untuk pertandingan seperti kejohanan atau liga bola sepak," katanya SUKMA Johor pada asalnya dijadualkan berlangsung dari 11 hingga 19 Julai ini, namun penularan pandemik Covid-19 memaksa temasya dwitahunan itu ditukar ke tarikh baharu, 6 hingga 14 Mac tahun depan.

Abdul Karim berkata, penetapan tarikh baharu itu memberi banyak manfaat kepada semua negeri kerana memberi lebih masa kepada atlet untuk mempersiapkan diri.

"Sarawak menetapkan sasaran untuk menjadi juara SUKMA di Johor nanti dan mulai sekarang, kita harus menetapkan fokus ke arah itu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Jun 2020 @ 8:14 PM