Pesilat negara, Mohd Al-Jufferi Jamari
Pesilat negara, Mohd Al-Jufferi Jamari
Ferzalfie Fauzi


PERSEKUTUAN Silat Kebangsaan Malaysia (Pesaka) merayu agar atlet mereka juga diberikan kelonggaran untuk menyambung latihan secara individu sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Menurut Setiausaha Agung Pesaka, Datuk Megat Zulkarnain Omardin, mereka memang menghormati dan memahami keputusan kerajaan baru-baru ini, namun dalam masa sama merayu serta meminta atlet dibenarkan sambung latihan tanpa ada sentuhan.

"Dalam latihan silat tidak semestinya ada sentuhan, walaupun kaedah perlawanan itu sendiri mempunyai kontak.

Kami juga mempunyai latihan yang memerlukan penggunaan gimnasium, serta meningkatkan tahap kecergasan," katanya ketika dihubungi Arena Metro.

Beliau memohon agar rayuan dan permintaan Pesaka dipertimbangkan untuk membolehkan dan membawa atlet kembali memasuki kem latihan berbentuk individu.

"Saya lihat pesilat negara, Mohd Al-Jufferi Jamari badannya sangat lemah apabila tidak berlatih menggunakan gimnasium.

Selain itu latihan mereka juga boleh dilakukan secara individu bagi memperkemaskan teknik, kepantasan tendangan.

"Ini sangat penting kerana pesilat negara harus mempersiapkan diri untuk menyertai Kejohanan Dunia yang ditangguhkan pada hujung tahun.

"Selain itu mereka juga perlu bersedia untuk mengharungi Sukan Dalam Dewan Asia awal tahun depan, selepas silat disenaraikan sebagai acara rasmi.

"Kami juga mendapat maklumat bahawa negara seperti Thailand, Indonesia dan Vietnam sedang menjalani latihan walaupun dalam perintah kawalan pergerakan," katanya.

Megat Zulkarnain juga gusar sekiranya lebih lama tidak dibenarkan berlatih, pesilat negara berdepan kesukaran untuk menyesuaikan diri dengan peraturan baru yang akan diperkenalkan nanti.

Sebelum ini Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican mengumumkan beberapa sukan boleh kembali menjalani latihan seperti biasa namun tidak dibenarkan bersentuhan sepanjang tempoh PKPP dilaksanakan.

Kebenaran itu bagaimanapun perlu mematuhi penjarakan sosial sekurang-kurangnya tiga hingga lima meter untuk aktiviti dinamik seperti bola sepak, hoki, bola jaring, ragbi, aerobik dan zumba.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Jun 2020 @ 7:07 PM