Penyerang Chelsea, Olivier Giroud. FOTO File Agensi
Penyerang Chelsea, Olivier Giroud. FOTO File Agensi

OLIVIER Giroud mengakui dia sangat hampir meninggalkan Chelsea ketika jendela perpindahan Januari lalu sebelum melanjutkan kontraknya dengan kelab Liga Perdana Inggeris itu.

Giroud dikaitkan dengan kelab Serie A Itali, Inter dan Lazio, namun bulan lalu dia melanjutkan perjanjian baru sehingga hujung musim depan.

Penyerang berusia 33 tahun itu berkata, dia hampir meninggalkan Stamford Bridge sebelum menerima jaminan daripada ketua jurulatih, Frank Lampard.

"Saya sepatutnya meninggalkan kelab pada jendela perpindahan Januari lalu kerana saya tidak banyak beraksi dan saya memerlukan lebih banyak masa permainan dalam usaha mewakili skuad Perancis dalam Euro 2020," kata Giroud kepada laman web kelab berkenaan.

"Saya hampir meninggalkan kelab ini tetapi saya fikir ia adalah takdir untuk saya terus kekal di Chelsea.

"Pengurus memberitahu kepada saya bahawa dia tidak boleh membiarkan saya berhijrah memandangkan dia tidak mempunyai sesiapa untuk menggantikan saya.

"Semua orang tahu apa yang berlaku jadi saya tidak akan membantahnya tetapi jurulatih memberitahu kepada saya secara peribadi dan memaklumkan dia akan memberi saya lebih banyak ruang untuk saya beraksi.

"Dia sering menepati janjinya dan apa yang penting bagi saya ialah membuktikan kepadanya bahawa dia boleh mengharapkan saya apabila dipanggil."

Giroud tiba di Chelsea dari Arsenal pada 2018 dan sudah membantu kelab itu menjuarai Liga Europa dan Piala FA.

Pemain kebangsaan Perancis berkenaan turut berhasrat memperoleh lebih banyak kejuaraan bersama Chelsea sambil berkata dia gembira di London.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Jun 2020 @ 10:15 AM