Giroud anggap pertemuan menentang Arsenal untuk merebut piala sesuatu dinantikan. FOTO REUTERS
Giroud anggap pertemuan menentang Arsenal untuk merebut piala sesuatu dinantikan. FOTO REUTERS
Agensi

OLIVIER Giroud mengakui sudah sedia berdepan bekas pasukannya, Arsenal pada aksi final Liga Europa (UEL) di Baku.

Chelsea akan menentang The Gunners di Azerbaijan pada 30 Mei ini.

Giroud terpaksa meninggalkan Arsenal ketika Pierre-Emerick Aubameyang tiba menyebabkan persaingan dalam kalangan penyerang menjadi sukar untuk berada dalam kesebelasan utama Arsene Wenger.

“Saya pergi berjumpa bos dan memberitahunya kita boleh tukar,” katanya.

“Saya mengatakan kita boleh meletakkan dua penyerang di depan.

“Mesut Ozil biasa bermain dengan No 10 seperti penyerang kedua dan saya OK dengan perkara itu.”

Giroud membuat keputusan yang betul dan Chelsea membayar £18j (RM96 juta).

18 bulan kemudian dia adalah satu-satunya penyerang pilihan Maurizio Sarri untuk menambah ketajaman serangan pada kancah Liga Europa dan jarang bermain dalam Liga Perdana dengan Gonzalo Higuain lebih menjadi pilihan.

Pemain Perancis itu begitu prolifik di Eropah dengan 10 gol dan tiga bantuan menjadikannya penyerang ditakuti dalam saingan itu berbanding pemain Eintracht Frankfurt, Luka Jovic.

“Nampaknya ia sudah berbeza,” kata Giroud sambil tersenyum.

“Ada masanya mereka bermain dengan dua penyerang. Apabila saya berada di sana ia tidak berlaku.”

Prospek bertembung dengan Arsenal iaitu kelab menyaksikan Giroud beraksi selama lima setengah tahun, begitu manis buat pemain 32 tahun itu.

“Saya suka berdepan pasukan lama saya,” kata Giroud.

“Ia pasti menjadi perlawanan sukar dan boleh menjadi begitu menyakitkan jika ia tidak menyebelahi tetapi anda perlu mengenepikan perasaan dan memori.

“Saya menikmati detik manis saya di sana. Ia menjadi sebahagian besar karier saya, kelab pertama saya di England dan ia akan sentiasa menjadi sesuatu istimewa.

“Sekarang saya merasakan darah saya biru dan ia sama seperti pasukan negara saya, ia benar-benar sesuai dengan saya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Mei 2019 @ 1:48 PM