ROSSI tidak mahu pergi ke Yamaha SRT untuk satu musim terakhir dan kemudian mengucapkan selamat tinggal. FOTO FB VR46 Official
ROSSI tidak mahu pergi ke Yamaha SRT untuk satu musim terakhir dan kemudian mengucapkan selamat tinggal. FOTO FB VR46 Official
AFP

JUARA dunia tujuh kali MotoGP, Valentino Rossi menegaskan dia tidak berniat untuk mengucapkan selamat tinggal kepada peminatnya sebaik meninggalkan pasukan Yamaha Factory.

Rossi, 41, sudah mengetahui bahawa dia akan kehilangan tempat bersama pasukan itu musim depan selepas pelumba muda Perancis, Fabio Quartararo menggantikan tempatnya.

Bagaimanapun, legenda Itali itu ditawarkan tempat untuk beraksi bersama pasukan satelit, Yamaha SRT.

"Saya mahu terus berlumba, tetapi jika saya masih kompetitif," kata Rossi ketika ditemuramah oleh laman web rasmi motogp.com.

"Perancangan saya cukup jelas. Melakukan beberapa perubahan di dalam pasukan dan menunggu sehingga musim panas sama ada saya lebih kompetitif berbanding tahun lalu," kata Rossi yang menamatkan saingan musim lalu di tempat ketujuh keseluruhan.

Bagaimanapun musim 2020 masih belum bermula susulan pandemik Covid-19 dan ia meletakkan Rossi dalam situasi tidak menentu.

"Dengan situasi semasa, saya perlu membuat keputusan tanpa dapat berlumba. Ia menjadi lebih sukar dan saya perlu melihat lebih mendalam sama ada saya masih ada cergas dan bermotivasi tinggi.

"Saya mempunyai peluang bersama Yamaha SRT yang ketika ini berada pada prestasi terbaik seperti dibuktikan tahun lalu bersama Quartararo dan Franco Morbidelli," katanya.

Masalah yang membelenggu Rossi ialah dia tidak pernah memenangi perlumbaan sejak 2018.

"Saya tidak mahu pergi ke Yamaha SRT untuk satu musim terakhir dan kemudian mengucapkan selamat tinggal. Jika ingin berlumba, saya akan memberikan komitmen 100 peratus dan bersaing mengejar podium.

"Saya mempunyai dua pilihan, iaitu sama ada ke Yamaha SRT atau bersara. Jadi sama-sama kita saksikan nanti," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Mei 2020 @ 10:15 AM