Oleh Firdaus Hashim


PERSATUAN Bolasepak Malaysia (FAM) dan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) terus menerima tamparan hebat apabila kemungkinan terpaksa meneruskan saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim ini tanpa kehadiran penyokong seperti mana disarankan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kelmarin.

Menerusi sidang media Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, beliau menyeru supaya masyarakat tidak menyertai sebarang bentuk perhimpunan untuk satu jangka masa panjang dalam tempoh enam bulan atau setahun.

Ia bagi memastikan wabak pandemik Covid-19 benar-benar berjaya dihapuskan meskipun Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bakal berakhir tidak lama lagi.

Sudah pasti gesaan KKM itu adalah wajib untuk diikuti FAM dan MFL bagi mengelak penyokong hadir ke stadium apabila membabitkan aksi liga tempatan.

Menurut Pensyarah Kanan Sains Kejurulatihan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Dr Zulakbar Abd Karim, gesaan KKM itu memberi isyarat awal kepada badan induk bola sepak tanahair untuk segera memikirkan langkah susulan bagi memastikan saingan Liga-M tetap diteruskan.

Katanya, FAM dan MFL tidak perlu panik dengan menghentikan atau membatalkan saingan liga domestik sebaliknya mereka boleh meneruskan dengan membenarkan 22 pemain berada di atas padang selain pegawai dan tonggak simpanan.

“Apa yang disuarakan Datuk Noor Hisham sepatutnya perlu dipatuhi semua termasuk persatuan sukan seperti FAM dan MFL.

“Selari dengan pendekatan FAM sebelum ini yang sentiasa mengambil kira nasihat KKM, sudah tentu FAM perlu akur dan memastikan tidak berlakunya perhimpunan besar membabitkan penyokong bola sepak di stadium.

“Cuma sekarang ini, kita tak tahu lagi garis panduan sebenar oleh KKM maksud saya berapa ramai bilangan yang tidak boleh berkumpul. Seperti contoh diberikan (Datuk Noor Hisham) iaitu perhimpunan di bazar Ramadhan, ia menunjukkan jumlah penyokong bola sepak lebih ramai daripada itu.

“Jadi saya melihat, FAM dan MFL ketika ini mungkin tersepit dan perlu mencari jalan terbaik untuk meneruskan liga. Caranya, mereka boleh sambung tetapi tak perlu ada penyokong.

“Perlawanan hanya disiarkan secara langsung melalui televisyen ataupun online kerana duit tajaan liga pun sudah dimasukkan ke akaun MFL. Mahu tak mahu liga kena jalan juga dan stadium perlu kosong,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 April 2020 @ 6:00 AM