SM Muthu. FOTO Aswadi Alias
SM Muthu. FOTO Aswadi Alias
Arena Metro

Atlet yang berkampung di Majlis Sukan Negara (MSN) berada dalam keadaan sihat namun pemantauan rapi tetap dilakukan termasuk membataskan pergerakan mereka di tempat awam bagi memastikan tidak dijangkiti Covid-19.

Malah, Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) Datuk SM Muthu turut mengarahkan setiap atlet mematuhi arahan yang sudah ditetapkan kerajaan dengan melarang mereka melakukan latihan ringan di tempat awam walaupun secara bersendirian.

Beliau berkata, setiap atlet perlu memaklumkan perkembangan terkini termasuk mereka yang dikuarantin di rumah masing-masing sejak beberapa hari lalu.

“Kita melarang mereka melakukan sebarang aktiviti terutama di tempat awam sejajar dengan arahan kerajaan iaitu kawalan pergerakan untuk meminimumkan setiap urusan masing-masing.

“Setakat ini, tiada atlet yang menunjukkan simptom penyakit berkenaan dan semuanya berada dalam keadaan sihat,” katanya.

Sebelum itu, akhbar melaporkan Jackie Wong menjadi atlet pertama negara didapati positif Covid-19.

Jackie yang juga atlet tukul besi negara dipercayai dijangkiti penyakit terbabit menerusi ayahnya yang sebelum ini disahkan positif Covid-19.

Sementara itu, Muthu berkata, KOM memantau perkembangan Jackie dan setakat ini dia memaklumkan tahap kesihatan semakin baik.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 Mac 2020 @ 6:45 AM