Maradona Chok elak sebarang risiko tidak diingini. FOTO File NSTP
Maradona Chok elak sebarang risiko tidak diingini. FOTO File NSTP
Ferzalfie Fauzi


PEMAIN boling wanita negara terpaksa melupakan dua kejohanan antarabangsa iaitu Jelajah Persatuan Boling Wanita Profesional (PWBA) di Jerman dan Amerika Syarikat (AS) akibat penularan wabak koronavirus.

Kongres Tenpin Boling Malaysia (MTBC) membuat keputusan membatalkan penyertaan pemain kebangsaan di kejohanan yang bakal berlangsung, April depan.

Setiausaha Agung MTBC, Maradona Chok, berkata keputusan itu dibuat adalah untuk mengelak sebarang risiko tidak diingini.

“MTBC mengadakan mesyuarat exco tergempar malam tadi berhubung perancangan kejohanan pasukan Malaysia.

“Selepas berbincang dengan atlet, kami dapati separuh daripada pasukan bimbang dengan penularan koronavirus," katanya.

Ujar beliau keputusan itu dibuat atas nasihat Majlis Sukan Negara (MSN) yang membatalkan penyertaan di Jerman dan AS bagi jelajah PWBA.

“Exco bersetuju dengan cadangan itu demi keselamatan pasukan,” katanya yang juga memegang jawatan sebagai pengurus pasukan.

Maradona berkata, pemain akan ‘dikuarantin’ untuk terus menjalani latihan di dalam negara sehinggalah Mei depan sebelum badan induk itu menilai semula situasi semasa bagi penyertaan kejohanan di luar negara.

“Pasukan akan fokus terhadap latihan. Walaupun ini bukanlah situasi yang ideal namun menyertai kejohanan antarabangsa pada waktu ini dikhuatiri akan mendatangkan lebih banyak keburukkan.

“Saya percaya pasukan mempunyai kekuatan mental yang tinggi bagi mengatasi masalah kekurangan kejohanan. Mereka masih boleh kekal kompetitif dengan bersaing antara satu sama lain dalam latihan,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Mac 2020 @ 6:28 PM