MARADONA berharap para atlet dapat beraksi dengan lebih baik di Vietnam. FOTO OWEE AH CHUN.
MARADONA berharap para atlet dapat beraksi dengan lebih baik di Vietnam. FOTO OWEE AH CHUN.
BERNAMA

Kuala Lumpur: Penyenaraian tenpin boling, antara 40 jenis sukan yang bakal dipertandingkan dalam temasya Sukan SEA di Vietnam tahun hadapan menaikkan semangat atlet negara untuk bersaing dalam mencapai kejayaan.

Setiausaha Agung Kongres Tenpin Boling Malaysia (MTBC) Maradona Chok berkata persatuan itu gembira dengan pengumuman oleh Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Tan Sri Mohamad Norza Zakaria semalam bahawa sukan itu akhirnya berjaya disenaraikan dalam temasya dwitahunan itu.

"Sudah tentu kami gembira tenpin boling dimasukkan dalam Sukan SEA 2021 yang membolehkan atlet kami menguji kekuatan mereka menentang pesaing serantau," katanya kepada Bernama hari ini.

"Kami tidak meletakkan sasaran tinggi untuk meraih pingat emas apabila Vietnam memutuskan hanya menampilkan enam acara berbanding sembilan pada edisi 2019 di Filipina, bagaimanapun kami berharap para atlet dapat beraksi dengan lebih baik," katanya.

Enam acara yang akan dipertandingkan pada Sukan SEA 2021 adalah perseorangan, berpasangan dan berpasukan dalam kategori wanita dan lelaki manakala acara berpasangan campuran dan masters digugurkan.

Sementara itu, Maradona berkata MTBC masih menunggu kalendar akhir untuk pertandingan tahun hadapan daripada Persekutuan Boling Asia (ABF) dan Boling Dunia.

"Berdasarkan kalendar awal, ada beberapa pertandingan yang akan berlangsung tahun hadapan seperti Kejohanan Boling Dalam Dewan Asia pada Mei; Kejohanan Asia, Belia dan Remaja Dunia pada Jun, tetapi kami perlu menunggu pengesahan akhir daripada mereka," katanya.

MTBC terpaksa membatalkan beberapa pertandingan tempatan tahun ini berikutan pandemik Covid-19 seperti Kejohanan Terbuka Malaysia dan Kejohanan Boling Kebangsaan Antara Negeri.

Perlawanan terakhir yang disertai skuad negara ialah Sukan SEA 2019 yang menyaksikan Malaysia meraih dua pingat emas menerusi Timmy Tan dalam acara perseorangan lelaki dan kuartet Muhammad Rafiq Ismail, Tun Ameerul Hakim Tun Hasnul Azam, Timmy dan Ahmad Muaz Fishol dalam acara empat berpasukan.

Malaysia turut memenangi tiga pingat perak dan dua gangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 November 2020 @ 7:04 PM