BEKAS tekong negara, Syahir (tengah) perlu jalani prosedur biasa jika ingin wakili negara. FOTO MALIK MUHAMAD
BEKAS tekong negara, Syahir (tengah) perlu jalani prosedur biasa jika ingin wakili negara. FOTO MALIK MUHAMAD
Malik Muhamad


“Tiada ‘wildcard’ buat Syahir (Mohd Syahir Rosdi) dan Zulkifli Razak.”

“Sebaliknya pemain itu perlu melalui proses biasa seperti pemain lain jika ingin kembali menyarung jersi pasukan negara,” ujar Timbalan Presiden Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM), Datuk Akramuddin Abdul Aziz.

Beliau menegaskan demikian sebagai mengulas hasrat bekas tekong terbaik skuad sepak takraw kebangsaan itu yang sebelum ini menyatakan ingin kembali mewarnai skuad negara selepas tempoh penggantungan bakal tamat hujung bulan depan.

“Saya lahirkan rasa gembira mengenai hasrat dua pemain berkenaan yang ingin kembali mewakili pasukan kebangsaan, kita alukan pendirian pemain itu, tapi mereka tidak akan diberi tiket khas.

“Mereka perlu menunjukkan komitmen yang tinggi terhadap pasukan, perlu lebih berdisiplin selain harus bersaing dengan pemain sedia ada dan pemain lain.

“Kita juga ingin melihat prestasi pemain itu, mereka perlu ada peningkatan memandangkan lebih kurang setahun tidak mewakili skuad negara.

“Pemain berkenaan juga perlu meyakinkan barisan jurulatih dan akhir sekali keputusannya sama ada terpilih atau sebaliknya itu terserah kepada mesyuarat exco PSM yang akan menentukan,” ujarnya ketika dihubungi.

Pada Jun tahun lalu, dua tekong emas itu yang pernah membantu skuad negara muncul juara selepas menamatkan penantian selama 24 tahun dalam Sukan Asia menerima perkhabaran duka apabila digantung oleh PSM selama sembilan bulan selepas membuat rayuan berbanding hukuman asal dua tahun.

Pemain berkenaan digantung atas alasan disiplin biarpun mereka menafikannya, berikutan itu kedua-duanya dilarang beraksi dalam kejohanan atau pertandingan sepak takraw sama ada dalam dan luar negara kecuali mewakili kelab yang juga majikan, MARA.

Ketika ditanya adakah PSM masih terluka dengan sikap dua pemain berkenaan ketika tempoh penggantungan berbaki sebulan lagi, Akramuddin menafikannya sebaliknya mengakui PSM mengamalkan sikap terbuka tanpa pilih kasih terhadap semua pemain.

“Tidak timbul dan tidak ada maksud PSM tidak suka atau mahu menyekat pemain itu kembali sarung jersi negara, PSM mengamalkan sikap terbuka, pemain yang menunjukkan semua syarat yang kita mahukan mereka akan terpilih.

‘Ini kerana permainan sepak takraw bukan sukan individu sebaliknya berpasukan, jika jurulatih puas hati dan PSM puas hati, mereka akan dapat bermain dengan pasukan negara.

”Namun nasihat saya buat pemain itu usah ulangi kisah lama, lupakan kisah hitam itu, sebaliknya perlu pamerkan semangat kesukanan yang tinggi buat pasukan,” ujar Akramuddin yang menyatakan kejohanan terdekat ISTAF Super Siri bakal berlangsung pada April atau Julai depan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Februari 2020 @ 5:36 PM