SUBKHIDDIN berkata setiap pengadil dilindungi dengan kod etika dan peraturan pertandingan yang boleh melindungi mereka. FOTO NSTP
SUBKHIDDIN berkata setiap pengadil dilindungi dengan kod etika dan peraturan pertandingan yang boleh melindungi mereka. FOTO NSTP
Firdaus Hashim


LAYANGAN kad merah bakal menanti mana-mana pemain yang 'gatal tangan' sengaja meraba pengadil wanita ketika perlawanan sedang berlangsung atau sebelum dan selepas aksi.

Malah, sekiranya komisioner perlawanan mendapati tindakan kurang sopan itu sengaja dilakukan, pemain berkenaan boleh diheret ke Jawatankuasa Pengadilan untuk menjatuhkan hukuman lebih berat menggantung pemain berkenaan bagi tempoh yang lama seperti dalam peraturan pertandingan tempatan Liga Malaysia (Liga-M).

Jelas pengadil berpengalaman Subkhiddin Mohd Salleh, keputusan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) melantik tiga pengadil wanita dalam saingan Liga-M musim ini disambut baik dan melihatnya sebagai satu usaha positif bagi memupuk minat dikalangan wanita menceburi bidang pengadilan.

Namun tindakan itu pasti akan mengundang risiko terutama apabila berlakunya sentuhan di bahagian dada terhadap pengadil wanita yang perlu diberi perhatian.

Bagaimanapun, beliau yang juga bekas Pengerusi Jawatankuasa Pengadil FAM menegaskan, setiap pengadil dilindungi dengan kod etika dan peraturan pertandingan yang boleh dijadikan 'perisai'.

"Kod etika in tetap ada termasuk dengan semua budaya tidak kerana ia terkandung dalam peraturan FIFA (Persekutuan Bolasepak Antarabangsa).

"Mungkin akan timbul insiden tak sengaja tapi kalau dikaji tengok (pada video) kita boleh ambil tindakan sivil (mahkamah) juga. Kalau kata dia (pengadil wanita) kena raba, boleh masuk dalam kes sivil, bukan saja kena kad merah.

"Kesalahan ini di bawah peraturan seperti sengaja mengeluarkan kata-kata lucah di mana pemain boleh kena kad merah.

"Kemudian bergantung kepada Jawatankuasa Pengadil nak gantung tiga perlawanan atau semusim terus atau seumur hidup," katanya kepada Arena Metro.

Kelmarin, FAM mengumumkan tiga pengadil wanita iaitu Rita Gani, Nurul Ain Izatty Zainal dan Nur Akmal Anuar akan mengendalikan perlawanan-perlawanan Liga Super dan Liga Perdana musim ini, sekaligus melakar sejarah baharu dalam saingan liga tempatan sebagai pengadil wanita pertama.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Februari 2020 @ 10:37 PM