SKUAD AHM Manggo A bersama pasukan lain bergambar selepas tamat perlawanan. FOTO Rosli Ilham
SKUAD AHM Manggo A bersama pasukan lain bergambar selepas tamat perlawanan. FOTO Rosli Ilham
Rosli Ilham

PASUKAN AHM Manggo A muncul juara Kejohanan Futsal Piala Ketua Pemuda PAS Kawasan Dungun yang berlangsung di Beach Court Futsal, Dungun, semalam.

Kejayaan itu dicapai selepas menumpaskan ED United 2-1 pada perlawanan akhir sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai RM2,000, medal dan tempat kedua pula membawa pulang RM1,000 dan medal.

Manakala tempat ketiga dan keempat disandang pasukan Teluk Lipat A dan Lembah A dengan membawa pulang RM500 serta medal.

Hadiah disampaikan Ketua Pemuda PAS Kawasan Dungun, Mohd Fadhli Rahmi yang hadir merasmikan majlis penutup kejohanan terbabit.

Mohd Fadhli berkata, sebanyak 58 pasukan daripada seluruh Terengganu menyertai kejohanan tersebut yang berlangsung selama dua hari bermula 14 Februari 2020.

“Penganjuran kejohanan ini secara tidak langsung dapat memastikan diri sentiasa terbabit dalam program berbentuk kesukanan dalam usaha meningkatkan kecergasan fizikal dan mental.

“Ada pepatah Arab menyatakan, akal yang sihat datang daripada badan sihat. Maka kita diharuskan untuk bersukan,” katanya.

Tambah beliau, kejohanan itu dapat mengeratkan hubungan sesama pemain serta mencungkil bakat baharu yang mempunyai kebolehan bermain futsal.

Dalam perlawanan antara kedua pasukan itu, nyata sengit apabila kedua duanya berbalas serangan dan asakan dari awal hingga akhir perlawanan.

AHM Manggo A mendahului 2 – 0 pada separuh masa pertama namun pasukan ED United cuba merapatkan jurang kedudukan pada babak kedua dan berjaya menghasilkan gol.

Meskipun asakan bertali arus daripada pasukan ED United, namun tiada jaringan dihasilkan sehingga ke tiupan wisel penamat.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Februari 2020 @ 11:54 AM