Ng Eain Yow. FOTO File NSTP
Ng Eain Yow. FOTO File NSTP
BERNAMA

KEMPEN negara dalam pertandingan skuasy Tournament of Champions (ToC) di New York, Amerika Syarikat, berakhir selepas satu-satunya pemain lelaki negara yang melepasi cabaran awal, Ng Eain Yow, tumpas dalam pusingan ketiga kejohanan, hari ini.

Pemain bukan pilihan itu bagaimanapun mempamerkan aksi cukup hebat semasa menentang pemain nombor tiga dunia Tarek Momen dari Mesir, sebelum tewas dengan 9-11, 4-11, 11-3 dan 9-11 dalam perlawanan yang berlangsung selama kira-kira 42 minit, menurut laman web kejohanan: www.tocsquash.com.

Momen, pemain pilihan ketiga kejohanan dijadualkan menentang rakan senegara​, Mostafa Asal dalam perlawanan suku akhir esok.

Asal yang juga juara remaja dunia menampilkan persembahan cemerlang, menundukkan bekas juara dunia Gregory Gaultier dari Perancis dalam lima set; 5-11, 13-11, 12-10, 10-12 dan 11-5 dalam satu lagi perlawanan pusingan ketiga, yang berlangsung selama kira-kira 72 minit.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 January 2020 @ 1:45 PM