Izzali Ismail


SELEBRITI dan pelawak terkenal, Lan Pet Pet menjangkakan peminat dapat menyaksikan saingan sengit pada final Piala Malaysia antara Kedah menentang Johor Darul Ta'zim (JDT) di Stadium Nasional, Bukit Jalil, malam esok.

Lan Pet Pet atau Mazlan Ahmad berharap penyokong kedua-dua pasukan dapat menunjukkan tahap keharmonian terbaik terjalin selama ini dikekalkan tanpa provokasi yang boleh menjejaskan hubungan.

“Bagi saya penyokong Kedah dan JDT memiliki semangat kesukanan yang tinggi.

“Saya berharap mereka kekalkan silaturahim kerana kedua-dua pasukan itu juga akan mewakili Malaysia beraksi di pentas bola sepak Asia musim depan.

“JDT dilihat pilihan sementara Kedah pula dilabel pasukan 'underdog' dan faktor itulah membuat penyokong lebih bersemangat mahu melihat kemampuan kedua-duanya.

“Saya sebagai penyokong tegar Kedah sejak zaman sekolah rendah lagi, mahu penyokong skuad Hijau Kuning terus setia memberi sokongan,” katanya.

Gelagat pelawak dan pelakon berusia 50 tahun itu yang dikenali melalui kumpulan Senario mengakui JDT memiliki kekuatan selaku juara Liga Super.

Namun beliau yakin Kedah akan tampil dengan semangat luar biasa dan tidak mudah mengalah.

Lan menjangkakan kedua-dua pasukan akan memberi saingan sengit namun sebagai penyokong Kedah beliau meramalkan mereka menang 3-2.

“Selamat berjuang buat kedua-dua pasukan. Kepada penyokong Kedah dan JDT, semoga menempuh perjalanan selamat pergi dan balik ke Bukit Jalil dan pulang ke tempat masing-masing,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 November 2019 @ 4:49 PM