ANGGOTA Senario, Azlee (kiri), Yassin (dua dari kiri) dan Hamdan (empat dari kiri) bersama pelakon lain ketika penggambaran filem Jaga Jaga Senariounion.
ANGGOTA Senario, Azlee (kiri), Yassin (dua dari kiri) dan Hamdan (empat dari kiri) bersama pelakon lain ketika penggambaran filem Jaga Jaga Senariounion.
Ridzuan Abdul Rahman

Beranang: "Kami semua sudah menghubungi Lan. Kita tahu apabila Lan mempunyai komitmen lain dan kami fahamlah," kata pengarah Aziz M Osman mengulas ketiadaan pelakon Lan Pet Pet dalam filem terbaru Senario berjudul Jaga-Jaga Senariounion.

Aziz yang sinonim dengan filem Senario berkata, pada awalnya Lan menyatakan persetujuan untuk bekerjasama dengan mereka.

"Dia juga sempat melakukan promosi bersama kita. Namun, sehingga saat ini, walaupun dua, tiga hari lepas sebelum kami nak selesai penggambaran, kami tetap telefon Lan untuk sekurang-kurangnya ada satu dua babak untuknya.

"Namun, kami faham bukan dia tolak atau tak terima tapi dia ada komitmen lain," katanya yang ditemui di lokasi penggambaran filem berkenaan di Jannah Wedding Place, di sini, malam tadi.

Ditanya sama ada Mazlan berada di Kedah atau Kuala Lumpur, Aziz berkata, dia boleh berada di mana-mana saja.

"Wahid, Hamdan dan Ilya bukan tinggal di Kuala Lumpur tapi di Ipoh. Namun, untuk penggambaran mereka boleh datang sini.

"Sehingga saat akhir kami cuba juga nak tampilkan Lan dalam cerita ini. Bukan tak dapat berhubung, kami dapat bercakap dengan dia tapi masa tak mengizinkan untuk dia berlakon," katanya.

AZIZ (kanan) bersama Amm Raja Lawak (tengah) dan Wahid.
AZIZ (kanan) bersama Amm Raja Lawak (tengah) dan Wahid.

Sementara itu, Azlee berkata, watak untuk Lan sudah digarap oleh Aziz, tetapi akhirnya diberikan kepada orang lain untuk dibawakan.

Lan, 52, atau nama sebenarnya Mazlan Ahmad yang terpalit kontroversi sebelum ini sudah beralih kerjaya sebagai pembantu peguam di syarikat guaman Aswandi Hashim & Co milik Datuk Dr Aswandi Hashim.

Lan memulakan tugas pertamanya di Kompleks Mahkamah Alor Setar pada 25 Ogos lalu.

Sementara itu, cubaan Harian Metro menghubungi Lan bagi mendapatkan reaksinya tidak berjaya apabila dia tidak menjawab panggilan telefon dan membalas mesej WhatsApp.

Jaga-Jaga Senariounion terbitan Botak Production Management Sdn Bhd menampilkan semua anggota Senario iaitu Azlee, Hamdan, Wahid, Yassin, Saiful Apek dan Ilya.

Ia turut disertai pelakon yang pernah membintangi filem Senario sebelum ini seperti Syanie, Bobby Kiran dan Prono.

Turut berlakon ialah Amm Raja Lawak, Farisha dan Badrul Shah.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Disember 2021 @ 12:59 PM