LOEW (tengah) bercakap dengan pemainnya ketika sesi latihan di Dortmund, semalam. — FOTO EPA
LOEW (tengah) bercakap dengan pemainnya ketika sesi latihan di Dortmund, semalam. — FOTO EPA
AFP

PENYERANG RB Leipzig, Timo Werner muncul pemain terbaharu terpaksa diketepikan bagi aksi persahabatan Jerman nenentang Argentina, memaksa jurulatih Joachim Loew memanggil pengganti, awal pagi tadi.

Loew memanggil pemain tengah Hoffenheim, Sebastian Rudy dan pertahanan Freiburg, Robin Koch bagi skuad yang akan melayan kunjungan Argentina awal pagi Khamis ini dan kemudian bertandang ke Estonia bagi aksi kelayakan Euro 2020 empat hari kemudian.

“Saya menghabiskan hari Ahad dengan menelefon dan tidak menerima apa-apa kecuali berita buruk,” kata Loew, yang turut tidak mendapat khidmat pemain tengah yang cedera Ilkay Gundogan bagi aksi persahabatan di Dortmund.

Toni Kroos, Jonas Hector dan Matthias Ginter semua menarik diri daripada skuad itu Ahad lalu, dengan pemain Schalke, Suat Serdar dipanggil sebagai pengganti.

WERNER diketepikan kerana tidak sihat. — FOTO Getty Images
WERNER diketepikan kerana tidak sihat. — FOTO Getty Images

Loew kehilangan sedozen pemain regular dengan pemain Manchester City, Leroy Sane berehat panjang selepas cedera ligamen lutut Ogos lalu.

“Ia menyedihkan kerana pasukan muda kami perlu sering beraksi bersama jika mahu meningkat,” kata Loew.

“Ia menyukarkan kami. Ini bukan keadaan terbaik tapi saya tidak akan merengek mengenainya. Ia juga memberi peluang kepada pemain lain untuk diturunkan.”

Loew memilih lima pemain yang belum pernah beraksi - pemain tengah Bayer Leverkusen, Nadiem Amiri, penyerang Freiburg, Luca Waldschmidt dan pertahanan Hertha Berlin, Niklas Stark selain Koch serta Serdar.

Jerman terikat 12 mata dengan Ireland Utara selepas lima perlawanan di tangga teratas Kumpulan C.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Oktober 2019 @ 1:18 PM