BERNAMA

NAIB juara musim lalu, Kelantan yang tampil tanpa pemain utama tahun ini menyasarkan untuk sekurang-kurangnya mara ke separuh akhir Kejohanan Ragbi Piala Agong 2019 yang akan membuka tirai 5 Oktober ini.

Pengurus pasukan Muhamad Anuar Che Wahab berkata sasaran ditetapkan itu adalah realistik dengan melihat kepada persediaan pasukan yang agak sederhana serta kehilangan beberapa pemain utama yang berhijrah dan mengalami kecederaan.

“Kita memang kekurangan pemain kerana berhijrah ke pasukan lain dan ada sebahagiannya mengalami kecederaan.

“Selaku finalis tahun lepas, kita tetap membuat persediaan yang rapi dengan apa yang kita ada. Kita akan tetap berjuang sepenuhnya dan mengharapkan kita mampu sekurang-kurangnya ke semi final dan jika mara ke final ia adalah bonus buat pasukan kita,” katanya.

Dalam pada itu, Muhamad Anuar berkata skuad ragbi Kelantan tahun ini akan menggabungkan pemain pengalaman dan pemain baharu di bawah program pembangunan.

Malah, skuad dari Pantai Timur itu juga akan menggunakan sepenuhnya khidmat pemain tempatan sebagai pendedahan kepada pemain baharu.

Sementara itu, pada sidang media di Wisma OCM hari ini, naib presiden Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM) Mohamad Fahmy Abd Jalil berkata pada tahun ini, setiap pasukan dibenarkan mendaftar empat pemain bukan warganegara atau naturalisasi bagi memperkuatkan pasukan masing-masing.

Beliau yang juga Pengarah Pertandingan KRM berkata hanya tiga pemain akan dibenarkan berada di atas padang dalam satu-satu perlawanan.

“Tujuan ambil langkah ini adalah untuk meningkatkan lagi standard permainan di kejohanan tempatan. Sama seperti di saingan piala dunia, pasukan-pasukan ternama turut menggunakan khidmat pemain naturalisasi seperti Jepun, Australia dan New Zealand.

“Jadi, kita juga guna pendekatan ini untuk memartabatkan ragbi di Malaysia dan juga sebahagian daripada persiapan ke kejohanan ragbi Asia,” katanya.

Mohamad Fahmy berkata kejohanan yang memasuki edisi ke-37 itu akan disertai 16 pasukan termasuk Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Pasukan dibahagikan kepada lima kategori iaitu premier (Kedah, Johor, Terengganu, Kelantan) divisyen 1 (Perak, Negeri Sembilan, ATM, Kuala Lumpur) divisyen 2A (Putrajaya, Melaka, Selangor, Pahang) dan 2B (Pulau Pinang, Perlis, PDRM) serta divisyen Borneo (Sabah).

Namun, pasukan Sabah selaku juara bertahan dan juga wakil Borneo menempah slot ke suku akhir secara automatik kerana Sarawak dan Labuan tidak mengambil bahagian pada kejohanan kali ini.

Kejohanan Ragbi Piala Agong yang akan membuka tirai pada 5 Oktober hingga 23 November ini, turut menawarkan hadiah keseluruhan RM45,000.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Oktober 2019 @ 12:41 AM