Mauro Icardi. FOTO Agensi
Mauro Icardi. FOTO Agensi
Agensi

MAURO Icardi berkata dia meninggalkan Inter untuk menyertai juara Ligue 1, Paris Saint-Germain (PSG) bagi memenuhi impian memenangi kejuaraan.

Icardi menyertai PSG sebagai pemain pinjaman, dengan kelab gergasi Perancis dilaporkan sedang mempertimbangkan untuk membeli penyerang berkenaan dengan €70 juta (RM321.55 juta).

Pemain berusia 26 tahun yang tiba di Inter dari Sampdoria pada 2013 telah menjaringkan 111 gol dalam aksi di Serie A dan 124 gol dalam semua kejohanan untuk berada di tempat kelapan antara penjaring terbanyak dalam senarai skuad Nerazzurri.

Icardi – memakai lilitan kapten Inter musim lalu dan dikecualikan oleh ketua jurulatih Antonio Conte - berkata masa yang tepat untuk meninggalkan San Siro.

“Saya datang ke sini untuk beraksi,” kata Icardi kepada Canal+. “Jika kehadiran anda sebagai pilihan untuk pembelian, anda tahu pemain itu perlu menunjukkan aksi terbaiknya untuk memastikan kelab berkenaan membuat keputusan membelinya dengan tepat. Kita lihat apa yang akan berlaku musim panas depan.

“Ia adalah tahun ketujuh berada di Inter dan impian saya adalah untuk beraksi di Liga Juara-Juara bersama Inter, seperti apa yang saya lakukan pada musim lalu, tetapi kami tidak memenangi apa-apa.

“Saya fikir masanya telah tiba untuk pergi ke kelab yang mempunyai visi menjulang kejuaraan, selain kelab yang mampu mencabar dan memenangi gelaran. Ia adalah masa buat saya untuk mula memikirkan mengenai kejuaraan.

“Sebenarnya PSG mempunyai barisan pemain yang penuh impian untuk mengecapi kejuaraan dan itulah yang saya mahukan.”

Icardi membuat penampilan di PSG ketika pasukan itu mencatat kemenangan 1-0 ke atas Strasbourg pada 14 September sebelum memulakan aksi Liga Juara-Juara minggu lalu dengan cukup bermakna apabila mencatat kemenangan 3-0 ke atas Real Madrid.

Bagaimanapun, pemain kebangsaan Argentina itu terlepas aksi kemenangan lewat berdepan seteru Ligue 1, Lyon pada Ahad lalu.

“Orang menggelarkan diri saya ‘pemusnah’ di kawasan penalti. Saya sentiasa bersedia di dalam kotak itu untuk menjaringkan gol,” tambah Icardi. “Sejak penampilan pertama saya dari zaman remaja buat Rosario, objektif saya dan sentiasa taksub untuk menghasilkan gol.”

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 September 2019 @ 6:37 PM