Penyerang Paris Saint-Germain dari Argentina, Mauro Icardi (kiri) meledak hatrik dalam perlawanan menentang Angers. FOTO AFP
Penyerang Paris Saint-Germain dari Argentina, Mauro Icardi (kiri) meledak hatrik dalam perlawanan menentang Angers. FOTO AFP
AFP

Paris: Mauro Icardi meledak hatrik dan Neymar menjaringkan gol pertama sejak Januari ketika penyandang juara Paris Saint-Germain membenam Angers 5-0 pagi ini, untuk mara ke separuh akhir Piala Perancis.

PSG pasukan paling banyak merekodkan 13 kejuaraan kejohanan, memburu gelaran keenam dalam tujuh musim Piala Perancis, melakukan tugas mudah di Parc des Princes.

"Kami sangat gembira dengan persembahan pasukan, sangat profesional," kata jurulatih PSG, Mauricio Pochettino di mana pasukannya akan melayan kunjungan Manchester City pada saingan separuh akhir pertama Liga Juara-Juara, minggu depan.

"Saya sangat gembira untuk tiga gol Mauro (Icardi). Saya belum memutuskan sama ada dia akan beraksi dalam kesebelasan utama tidak lama lagi atau tidak, saya belum memikirkan mengenainya.

"Ia sememangnya bukan mudah apabila pemain mengalami kecederaan, beberapa masalah, serta mengharungi musim yang sukar."

Gergasi ibukota itu menyertai Montpellier, kelab amatur Rumilly Vallieres dan Monaco, yang menewaskan satu lagi pencabar kejuaraan Ligue 1, Lyon, 2-0 dalam kelompok empat terakhir.

Icardi meletakkan skuad kendalian Pochettino di depan pada minit kesembilan, sebelum pertahanan kanan Angers, Vincent Manceau menjaringkan gol sendiri pada babak pertama.

Neymar, mengetuai PSG selepas ketiadaan Marquinhos yang mengalami kecederaan menambah gol buat tuan rumah pada minit ke-65.

Ia adalah jaringan pertama bintang Brazil itu sejak meledak dua gol berdepan Lorient pada 31 Januari lalu, selepas buntu tanpa jaringan dalam enam perlawanan dan kerap disisihkan kerana kecederaan serta penggantungan.

Angel Di Maria mengumpan bola kepada Icardi untuk menolak masuk gol keempat tiga minit kemudian sebelum penyerang itu melengkapkan hatrik pada penghujung babak perlawanan.

Pemain Argentina itu sudah meledak 11 kali dalam semua kejohanan musim ini buat PSG, sekalipun hanya berada dalam kesebelasan utama untuk 15 perlawanan.

Juara bertahan itu akan berdepan Metz pada aksi penting Ligue 1, Sabtu ini, ketinggalan satu mata di belakang pendahulu liga Lille dengan berbaki lima perlawanan liga bagi musim ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 April 2021 @ 8:11 AM