AFC serah kepada FIFA siasat insiden di Jakarta. FOTO fail NSTP
AFC serah kepada FIFA siasat insiden di Jakarta. FOTO fail NSTP
Meor Riduwan Meor Ahmad


KONFEDERASI Bolasepak Asia (AFC) kesal dan sedih dengan kejadian peminat bola sepak cedera akibat keganasan pada perlawanan Pusingan 2 Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 antara Indonesia dan Malaysia di Stadium Utama Gelora Bung Karno, Jakarta, malam tadi.

Setiausaha Agung AFC, Datuk Windsor John Paul berkata, ia tidak sepatutnya berlaku kerana peminat datang ke stadium untuk bergembira menonton perlawanan pasukan masing-masing.

"AFC berasa sedih atas kejadian kecederaan kepada peminat bola sepak tidak kira Malaysia atau Indonesia.

"Kita berharap peminat yang cedera dapat sembuh dengan cepat. Mereka pergi ke stadium untuk bergembira menonton perlawanan bila dapat kecederaan kita rasa sedih," katanya dihubungi Arena Metro, hari ini.

Sehubungan itu katanya, AFC menyerahkan kepada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) untuk tindakan dan siasatan terperinci berhubung kejadian itu.

"Perlawanan ini di bawah FIFA jadi pegawai FIFA yang akan buat laporan terus kepada FIFA. Kita cuma badan mengkoordinasi perlawanan bagi mereka.

"Jika ada tindakan, akan diambil oleh FIFA kerana ini membabitkan perlawanan pra Piala Dunia di bawah naungan mereka," katanya.

Mengulas lanjut, Windsor John berkata, beliau dimaklumkan laporan berkaitan sedang dikumpul untuk dihantar kepada FIFA termasuk daripada FAM.

"Perkara ini yang dibincangkan antara saya dengan Setiausaha Agung FAM (Stuart Ramalingam) pagi tadi.

Beliau maklumkan sedang siapkan laporan untuk dihantar kepada FIFA.

"Saya tegaskan, AFC memandang serius apa saja kejadian yang tidak memberikan imej baik kepada bola sepak Asia.

Tidak kira berlaku di Indonesia, Malaysia atau di mana saja," katanya menambah laporan terperinci kejadian dijangka diperoleh selewat-lewatnya lusa.

Dalam pada itu, beliau yakin insiden sama tidak akan berlaku pada perlawanan timbal balik antara kedua-dua negara pada 19 November depan di Stadium Bukit Jalil.

"Saya lihat perlawanan bola sepak di Malaysia kebelakangan ini berlangsung dengan terkawal dan teratur.

Kita memang ada kepercayaan kepada FAM dan peminat untuk menyaksikan perlawanan dengan baik," katanya.

Menurutnya, dalam kes kekecohan berlaku di Indonesia, beliau difahamkan segala aspek berkaitan keselamatan sudah dipastikan.

"Peminat ini beremosi. Tapi bagi pihak penganjur walaupun sudah siap dengan segala persiapan bukan saja di pihak Indonesia, malah pegawai keselamatan dari Malaysia juga pergi ke sana.

"Soal keselamatan ini sudah diambil kira seberapa baik jadi bila berlaku (kekecohan) kita perlu lihat semula," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 September 2019 @ 4:08 PM