LAPORTE diusung keluar ketika menentang Brighton di Etihad. - FOTO Reuters
LAPORTE diusung keluar ketika menentang Brighton di Etihad. - FOTO Reuters
Agensi

MANCHESTER City kini hanya tinggal dua pertahanan tengah berpengalaman selepas Aymeric Laporte terpaksa berehat sehingga 2020 susulan menjalani pembedahan lutut di Barcelona.

Laporte yang ditandatangani dari Athletic Bilbao pada Januari 2018 mengalami kecederaan ketika menewaskan Brighton 4-0 di Etihad, Sabtu lalu.

Sumber kelab hari ini melaporkan Laporte terpaksa diketepikan sehingga Tahun Baru walaupun tiada jangka masa ditetapkan bila pemain berusia 25 tahun itu akan kembali beraksi.

Selepas bekas kapten, Vincent Kompany meninggalkan City pada penghujung musim lalu untuk menjadi pemain dan pengurus di Anderlecht, Pep Guardiola berhasrat memperkuatkan bahagian pertahanannya pada musim panas.

Tetapi City tidak bersetuju harga diminta Leicester untuk mendapatkan Harry Maguire yang kemudiannya menjadi pertahanan termahal dunia selepas berpindah ke Manchester United dengan harga £80 juta (RM409 juta) dan Guardiola meneruskan kempen musim baharu tanpa pengganti Kompany.

Akibatnya, City hanya memiliki dua pertahanan tengah ‘senior’ -- John Stones dan Nicolas Otamendi bagi menghadapi separuh babak pertama musim baharu.

Guardiola sedia meletakkan pemain tengah Brazil, Fernandinho sebagai pertahanan ‘kecemasan’ dengan pemain berusia 18 tahun, Eric Garcia satu-satunya pilihan lain yang ada. Tosin Adarabioyo yang berusia 21 tahun dipinjamkan ke kelab Championship, Blackburn Rovers dengan City tidak mempunyai pilihan memendekkan tempoh pinjaman di Ewood Park.

Laporte turut tersenarai kali pertama bersama Perancis untuk menghadapi kelayakan Euro 2020 menentang Albania dan Andorra tetapi terpaksa menarik diri susulan kecedraan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 September 2019 @ 12:30 AM