Datuk Seri Jalani Sidek

MINGGU ini, mood saya berbeza lebih-lebih lagi selepas negara meraikan sambutan Hari Kemerdekaan ke-62, semalam.

Sebagai bekas atlet negara, bagi saya pengertian kemerdekaan itu sangat besar.

Bukan saja saya, malah perkara sama juga pasti dialami semua atlet negara. Ini kerana, menjadi seorang atlet bukan sekadar bersaing sesama sendiri di atas gelanggang tetapi lebih daripada itu, setiap atlet menjadi duta dengan membawa imej negara masing-masing.

Slogan sukan menyatukan rakyat itu memang benar.

Menerusi sukan, tiada batas agama, kaum, bangsa mahupun fahaman politik.

Ketika negara panas dengan beberapa isu perkauman serta perkara yang sensitif, saya rasa sudah tiba masanya untuk kita semua kembali bersatu menerusi sukan.

Bukan sesuatu yang mustahil untuk mengembalikan semula keharmonian antara pelbagai kaum sebab itu sentiasa berlaku dalam sukan.

Kejayaan Malaysia memenangi Piala Thomas 1992 adalah hasil daripada kerjasama semua kaum.

Ketika itu, mendiang Datuk Punch Gunalan bertindak selaku pengurus pasukan. Foo Kok Keong dan Soo Beng Kiang juga sebahagian daripada pasukan.

Malah, ketika bekas jaguh negara, Datuk Lee Chong Wei aktif sebagai pemain, sokongan terhadapnya hadir daripada tidak kira bangsa atau agama.

Sokongan padu semua penyokong itulah yang menjadi kekuatan kepadanya menjadi legenda terhebat dunia.

Jadi, tolak tepi sajalah isu remeh-temeh seperti yang dikatakan Chong Wei. Kerana pada akhirnya, kita semua adalah rakyat yang cintakan negara.

Jumpa lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 September 2019 @ 8:01 AM