HAFIZH perlu tinggalkan Red Bull KTM Tech 3 tahun depan. — FOTO e-mel NSTP
HAFIZH perlu tinggalkan Red Bull KTM Tech 3 tahun depan. — FOTO e-mel NSTP
Saiful Affendy Sapran


MASA depan pelumba MotoGP negara, Hafizh Syahrin Abdullah bukan saja mendapat perhatian di negara ini tetapi turut menjadi tumpuan media luar negara.

Meskipun Hafizh sudah menyatakan belum membuat sebarang keputusan, ada banyak khabar angin berhubung masa depannya selepas kontraknya bersama Red Bull KTM Tech 3 tidak disambung tahun depan.

Memetik laporan laman web imotorbike, peluang Hafizh untuk kekal beraksi pada Kejohanan Motosikal Dunia dilihat masih belum tertutup rapat kerana ada beberapa kebarangkalian mungkin berlaku.

“Ketika slot di MotoGP tampak sukar untuk diperoleh, masih ada harapan untuk Hafizh mendapat tempat musim depan bersama pasukan satelit.

“Contohnya bersama PETRONAS Yamaha SRT. Ketika ini pasukan itu diwakili Franco Morbidelli dan Fabio Quartararo yang sudah terikat dengan kontrak tetapi mungkin akan berlaku perubahan di hujung musim,” katanya.

Laporan itu menyebut, ada khabar angin pelumba Monster Energy Yamaha MotoGP, Valentino Rossi akan meninggalkan perlumbaan berprestij itu hujung musim ini dan jika ia benar-benar berlaku, pasukan yang mendapat sokongan penuh pengeluar itu mungkin berminat untuk menggantikan Rossi dengan Quartararo sekali gus bergandingan bersama Maverick Vinales.

“Ia akan memberikan satu slot kosong dalam pasukan PETRONAS Yamaha SRT,” menurut laporan itu.

Laporan itu turut menyatakan ada satu lagi pilihan buat Hafizh sekiranya tidak dapat beraksi di MotoGP dengan kembali ke Moto2.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Julai 2019 @ 6:00 PM