Arfiqanie tukar kategori berat badan. FOTO NSTP
Arfiqanie tukar kategori berat badan. FOTO NSTP
Azlan Muhammad Zain


DUA kali pulang dengan tanpa sebarang pingat menyaksikan petinju negara, Arfiqanie Ahmad Anshori mengharapkan tuah apabila menukar kategori berat badan di Sukan SEA Filipina nanti.

Dia akan beraksi dalam kategori 60 kilogram selepas penampilannya pada dua edisi terdahulu dalam kategori 56kg berakhir dengan kekecewaan apabila kecundang di suku akhir.

"Saya tewas kepada petinju Thailand pada saingan suku akhir di Singapura 2015 dan Kuala Lumpur 2017.

Namun saya melihat peluang lebih cerah apabila beraksi dalam kategori baharu nanti.

"Difahamkan ramai petinju kurang berpengalaman akan beraksi dalam kategori ini. Malah lawan dari Thailand adalah atlet junior dengan saya pernah menjadi rakan sepelatihnya," jelas petinju berusia 23 tahun itu.

Dia antara harapan kontinjen negara untuk meraih pingat di Sukan SEA Filipina selepas ketiadaan pemenang gangsa dua tahun lalu, R.Indran yang beraksi dalam kategori 75kg.

Persatuan Tinju Amatur Malaysia (PTAM) meletakkan sasaran dua pingat tanpa mengira kilauan untuk dimenangi atletnya di Filipina.

Bagaimanapun sandaran utama kekal kepada pemenang emas kategori 49kg, Mohd Fuad Redzuan bagi mempertahankan kemenangan yang diraihnya dua tahun lalu.

  • Lagi berita berkaitan Sukan SEA Filipina 2019
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Julai 2019 @ 7:23 PM