Norhafiz mahu penyokong penuhi stadium. FOTO NSTP
Norhafiz mahu penyokong penuhi stadium. FOTO NSTP
Mohd Amin Jalil


RIBUAN penyokong Negeri Sembilan ditagih membanjiri Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, bagi memberikan sokongan perlawanan menentang Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam aksi Liga Perdana, malam esok.

Kapten Negeri Sembilan, Norhafiz Zamani Misbah berkata, skuad Hobin Jang Hobin amat memerlukan kemenangan bagi mengintai peluang melayakkan diri ke saingan Liga Super musim hadapan.

Bekas pemain kebangsaan berusia 37 tahun itu berkata, sokongan daripada penyokong amat ditagih bagi meningkatkan motivasi dan semangat pemain untuk memberikan persembahan cemerlang serta memastikan pasukan meraih kemenangan.

"Pertembungan dengan PDRM antara perlawanan paling penting yang kami hadapi kerana ia akan menjadi penentu kepada laluan pasukan melayakkan diri ke Liga Super.

"Tambah pula, PDRM juga mempunyai hala tuju yang sama dan oleh itu cabaran yang akan dihadapi Negeri Sembilan kali ini berbeza.

"Justeru, saya mengharapkan tsunami penyokong Negeri Sembilan untuk memberikan suntikan semangat agar impian mendapatkan kemenangan tercapai," katanya selepas sesi latihan, hari ini.

Tonggak berpengalaman itu turut menggesa rakan sepasukan memberikan komitmen 200 peratus sepanjang 90 minit permainan dan memanfaatkan kelebihan bermain dilaman sendiri bagi mendapatkan tiga mata.

Beliau berharap kemenangan 3-1 yang dicapai ke atas Johor Darul Ta`zim II (JDT II) di gelanggang sama Selasa lalu, dapat diulangi pada pertembungan dengan PDRM nanti.

Negeri Sembilan dan PDRM yang masing-masing menduduki tangga keempat dan kelima carta liga dengan kutipan 28 dan 27 mata, mempunyai peluang sama ke Liga Super musim depan, namun perlu menang dalam kedua-dua baki perlawanan musim ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Julai 2019 @ 3:39 PM