MISBUN dan Hendrawan ketika sesi latihan skuad badminton di Akademi Badminton Malaysia, Bukit Kiara.
MISBUN dan Hendrawan ketika sesi latihan skuad badminton di Akademi Badminton Malaysia, Bukit Kiara.
Ferzalfie Fauzi


KETUA jurulatih perseorangan lelaki negara, Datuk Misbun Sidek akan menerima saja apa keputusan yang akan dibuat oleh Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mengenai masa depan penolongnya, Hendrawan.

Menurutnya, tugas untuk menjaga skuad perseorangan lelaki memang sangat mencabar terutama dari sudut pembangunan dan mengekalkan prestasi.

“Apa pun yang terjadi (mengenai nasib Hendrawan) saya tidak boleh mengulas panjang kerana perkara itu di luar bidang kuasa saya, semuanya terpulang di atas pihak pengurusan,” katanya ketika ditemui di Akademi Badminton Malaysia (ABM) hari ini.

Ujarnya, tugasnya adalah melatih pemain dan jika ditakdirkan melatih bersendirian perkara itu tetap harus diteruskan.

“Saya menghormati apa saja keputusan pihak pengurusan. Saya juga tidak boleh menilai kemampuan Hendrawan. Ia terpulang kepada pihak pengurusan.

“Ketika saya datang sini, Hendrawan sudah ada. Sama seperti Sairul (Amar Ayob) yang tidak disambung kontrak, saya tidak boleh buat apa. Kecuali orang yang saya pilih (bawa masuk),” katanya.

Ujar legenda perseorangan lelaki negara ini, beliau menerima dengan hati terbuka apa saja keputusan yang ditentukan pihak pengurusan terhadap Hendrawan.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan (C&T), Datuk Ng Chin Chai berkata, mereka ada membincangkan pengstrukturan semula bahagian kejurulatihan.

“Perkara ini sudah dipersetujui oleh ahli jawatankuasa C&T dan dibangkitkan kepada Mesyuarat Ahli Majlis esok untuk kelulusan.

“Lima bahagian semua ada pengstrukturan tapi hanya perubahan kecil saja. Esok kita akan umumkan,” katanya.

Status Hendrawan yang masih mempunyai kontrak sehingga Sukan Olimpik Tokyo 2020 menjadi persoalan selepas Datuk Lee Chong Wei mengumumkan persaraan bulan lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Julai 2019 @ 8:42 PM