ZONJIC tersingkir daripada skuad TFC pada akhir Mei lalu.
ZONJIC tersingkir daripada skuad TFC pada akhir Mei lalu.
Malik Muhamad

"HATI saya masih dengan Terengganu FC (TFC). Jika pasukan itu masih lagi mahukan khidmat saya, saya sedia beraksi bersama mereka," ujar bekas pertahanan import skuad Penyu kelahiran Montenegro, Igor Zonjic.

Zonjic berkata demikian ketika ditanya mengenai kesediaannya kembali menyarung jersi skuad Penyu itu jika mendapat tawaran daripada Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT).

Perkara itu timbul selepas impian PBSNT menggunakan khidmat pemain import baharu dari Brazil, Luis Gustavo Camilo berkecai selepas Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) menolak permohonan badan induk bola sepak negeri itu mendapatkan Sijil Perpindahan Antarabangsa (ITC) pemain pertahanan tengah itu.

"Saya selalu mengikuti berita dan perkembangan TFC, sudah tentu saya ingin kembali. Bagi saya ia kesilapan mereka (PBSNT) lakukan kerana gugurkan saya.

"Bagaimanapun, saya masih ingin kembali bermain untuk TFC kerana saya tidak dapat lupa segala jasa yang diberikan kepada saya termasuk persatuan, pasukan, penyokong, negeri dan negara Malaysia.

"Jika persatuan menghubungi saya, saya akan datang segera dan bermain untuk saingan Piala Malaysia tanpa perlu dibayar sebaliknya bagi peluang untuk buktikan saya tidak bersalah pada TFC.

"Bagaimanapun sehingga kini tiada siapa menghubungi saya lag , namun saya tetap menanti berita gembira daripada persatuan biarpun kini sudah berada di negara saya," ujar Zonjic melalui aplikasi WhatsApp.

Bekas pemain kelab River Plate dalam Liga Argentina berusia 28 tahun itu digugurkan pada akhir Mei lalu susulan aksi tidak konsisten musim ini biarpun berjaya membantu skuad itu muncul naib juara Piala Malaysia musim lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 Jun 2019 @ 6:48 PM